SK Simpang Ampat terima sumbangan UniKL-MICET

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TABOH NANING 15 Ogos- Pensyarah dan kakitangan Universiti Kuala Lumpur- Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL-MICET), di sini bermurah hati mengumpulkan dana untuk menyediakan peralatan bagi Sekolah Kebangsaan Simpang Ampat menikmati kemudahan beberapa peralatan.

Berkat kesungguhan dan keikhlasan mereka memberikan sumbangan, seramai 429 murid tahun satu hingga enam dan 50 murid prasekolah menikmati kemudahan 12 unit kipas dinding, seunit dapur, lima kotak ‘flush’ tandas, seunit periuk nasi dan dua unit komputer riba.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Taufik Abdul Rahman berkata, persatuan itu mengemukakan permohonan kepada UniKL-MICET untuk mendapatkan peralatan berkenaan bagi membantu murid mengikuti pembelajaran secara sempurna.

“Alhamdulillah, pensyarah dan kakitangan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) itu bermurah hati membuat kutipan derma dalam kalangan mereka untuk membantu kami.

“Berkat keikhlasan memberikan sumbangan kewangan, mereka mampu menyediakan peralatan itu untuk membantu murid mengikuti pembelajaran dengan lebih baik,” katanya selepas menyerahkan peralatan berkenaan kepada Guru Besar, Norazah Harun Alias.

Taufik berkata, kipas dinding berkenaan amat bermanfaat, khususnya untuk 50 murid prasekolah yang belajar dalam dua kelas kerana setakat ini, kelas berkenaan tidak mempunyai kipas siling.

“Kotak ‘flush’ pula bakal menggantikan kotak ‘flush’ sedia ada di tandas murid lelaki dan perempuan yang sudah rosak dan menyebabkan aspek kebersihan tandas kurang memuaskan,” katanya.

Sementara itu, Norazah berkata, sekolah berkenaan mengucapkan jutaan terima kasih kepada UniKL-MICET kerana sudi menghulurkan sumbangan demi kesempurnaan pembelajaran murid.

“Saya yakin dengan adanya kipas dinding, murid akan dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa dan ia membantu meningkatkan semangat mereka untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, kesungguhan PIBG membantu mendapatkan dana juga harus dihargai dan selama ini barisan kepemimpinan persatuan itu amat aktif menjayakan pelbagai program untuk kemajuan akademik anak mereka.

Views:

751
Kongsi :
Previous post Murid orang Asli tak sabar sambut Hari Kebangsaan Ke-63
Next post Jeti baharu buat nelayan Pantai Puteri bakal dibina
Ubah saiz-+=