Murid orang Asli tak sabar sambut Hari Kebangsaan Ke-63

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

TABOH NANING 15 Ogos – Walaupun tiada acara perbarisan dan perarakan di seluruh negara bagi menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 pada 31 Ogos ini, seramai 95 murid orang Asli di Sekolah Kebangsaan Cherana Puteh (SKCP), di sini tetap bersemangat dan ceria untuk meraikannya.

Bagi mereka, meskipun sambutan Hari Kebangsaan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui televisyen, mereka tetap ingin turut meraikannya dengan membantu guru memasang Jalur Gemilang di sekolah.

Fazelina Harman, 12, berkata dia gembira berpeluang membantu guru memasang bendera kebangsaan, sekali gus mempamerkan semangat patriotiknya yang tidak pernah luntur.

“Tiada perarakan dan perbarisan di mana-mana pun dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun ini tetapi saya tetap teruja kerana dapat bersama-sama guru memasang bendera negara,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

Davie Cleressa Roland, 12, berkata dia berbangga menjadi rakyat Malaysia yang merdeka daripada penjajah dan berjanji akan memberikan sumbangan kepada negara apabila dewasa kelak.

“Saya ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan mendapatkan pekerjaan yang baik untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan negara pada masa depan,” katanya.

Syaziera Amir, 12, berkata meskipun agak sedih kerana tidak dapat menyaksikan perbarisan dan perarakan tahun ini berbanding tahun sebelum ini, dia tetap ceria menyambut Hari Kebangsaan Ke-63.

Katanya, walaupun pandemik COVID-19 masih belum berakhir sepenuhnya, semangat patriotik untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara tidak semestinya terpadam, sebaliknya harus tetap membara seperti sebelum ini.

Sementara itu, Guru Besar sekolah itu, Rusiah Abdul Rahman berkata, Jalur Gemilang mula dipasang sejak semalam bagi menanam semangat cinta akan negara dalam jiwa murid walaupun tiada perbarisan dan perarakan diadakan tahun ini.

Katanya, 95 murid orang Asli berkenaan tinggal di Kampung Bukit Payong dan Kampung Dusun Paya, di sini dan sebahagian daripada keseluruhan 191 murid sekolah itu.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bakal melakar sejarah baharu kerana buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mohammad Diah Wahari dilaporkan berkata, acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti, bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai, selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan
pandemik COVID-19 dipatuhi.

Kerajaan tidak akan mengadakan acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama.

Baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan RTM yang diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).

Views:

425
Kongsi :
Previous post Sultan Johor kongsikan idea bangunkan Johor, Melaka
Next post SK Simpang Ampat terima sumbangan UniKL-MICET
Ubah saiz-+=