SMA Al Ehya El Karim juara keseluruhan Pidato Piala TYT

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 15 September – “Alhamdulillah, memang tidak disangka, rasa seperti menang cabutan bertuah,” kata guru pengiring Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Ehya El Karim, Noor Iryani Salim.

SMA Al Ehya El Karim dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka berlangsung di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Noor Iryani turut berterima kasih kepada semua pihak terutama ibu bapa yang memberikan sokongan dan semangat kepada dua pelajarnya selepas layak ke peringkat akhir kali ini.

“Sebelum ini kami memang ada hantar wakil, namun ini adalah kejuaraan paling besar pernah SMA Al Ehya El Karim raih, jadi kemenangan ini amat istimewa bagi kami.

“Kami harap pertandingan ini diteruskan pada masa akan datang. Kepada generasi muda hargai pidato ini kerana ia adalah umpama seni yang diwarisi daripada mereka yang terdahulu,” katanya.

photo1663232372
Guru SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, Mohd Zulqarnain Abdol Rahman, 28 bersama peserta, Hanan Mohd Nazeri dan Auni Nur Batrisya sempena Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di MITC Ayer Keroh, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

SMA Al Ehya El Karim diwakili Siti Redwana Qasrina Rajes Khan dan Alya Nur Syafini Zulkifli diumumkan juara bagi kategori Sekolah Menengah menewaskan empat sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas; SMK Dang Anum dan SMK Agama Sharifah Rodziah, sekali gus membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM2,000, sijil dan buku.

Mereka juga diumumkan seabgai pemenang Anugerah Persembahan Terbaik dan membawa pulang piala pusingan serta sijil disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka memasuki tahun ketiga kali ini.

Penyertaan membabitkan lima kategori pertandingan antaranya Sekolah Rendah, Menengah, Institut Pengajian Tinggi, Institut Bukan Melayu, Penjawat Awam dan Kategori Awam.

Bagi Kategori Sekolah Rendah, Johan milik wakil Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin iaitu Hanan Mohd Nazeri dan Auni Batrisya Rushdan yang membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1,500, sijil serta buku.

Kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Kategori Institut Bukan Melayu pula milik penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nornikman Ag Kati (IPT) dan Chan Chin Ho yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala pusingan.

Manakala johan bagi Kategori Institut Pengajian Awam dan Kategori Awam milik peserta dari Sabah iaitu Mohd Mujahid Halpi (piala pusingan, RM4,000, sijil dan buku) dan Mohd Fikri Mohd Jumat (piala pusingan, RM5,000, sijil dan buku).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5917
Kongsi :

One thought on “SMA Al Ehya El Karim juara keseluruhan Pidato Piala TYT

Comments are closed.

Previous post Pidato Piala TYT 2022 sengit
Next post Badi kalah Melaka United berakhir
Ubah saiz-+=