Sorok rokok seludup, mercun dan arak di rumah sewa

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDA HILIR 10 Feb. – Tindakan licik seorang lelaki menjadikan rumah sewa di Taman Limbongan Permai, dekat sini, sebagai stor simpanan barangan seludup termasuk rokok, mercun dan arak tanpa cukai kastam terbongkar apabila ditahan anggota Cawangan Risik Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 33 tahun berasal dari Rompin, Pahang itu ditahan ketika memandu kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang kedai di Klebang Kechil.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menjumpai 221 karton rokok seludup pelbagai jenama yang disorokkan di dalam but belakang kereta berkenaan.

“Polis kemudiannya dibawa ke rumah sewanya dan menemukan 2,690 karton rokok pelbagai jenama, 21 kotak mercun dan 144 tin serta sembilan botol minuman keras.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku baru sebulan aktif di negeri ini dan menjadikan rumah itu stor penyimpanan barangan tidak bercukai sebelum mengedarnya kepada peruncit.

“Suspek tidak tinggal di rumah itu dan kita masih menyiasat sama ada dia bergerak solo atau mempunyai rakan subahat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini, pada Rabu.

Afzanizar berkata, keseluruhan barangan dirampas itu termasuk cukai dianggarkan bernilai RM573,000.

“Suspek yang tidak bekerja dipercayai membawa masuk barangan seludup berkenaan melalui jalan darat dari negeri jiran sebelum dijual di kedai runcit sekitar Melaka Tengah.

“Suspek direman tiga hari bermula 9 hingga 11 Februari bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam iaitu memiliki barang larangan import (arak dan rokok) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (v) (aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000 hingga maksimum 20 kali ganda nilai atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan memiliki mercun kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Views:

1007
Kongsi :
Previous post Pemandu wanita buat pusingan U di lampu isyarat didenda RM5,500
Next post Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada waris Ujang Mormin
Ubah saiz-+=