Speaker tegur insiden wakil rakyat bawa ayam ke Sidang DUN Perak

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

IPOH, 15 Dis – Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menegur tindakan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) yang membawa ayam segar ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini semalam.

Beliau berkata pihak keselamatan diminta melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barangan yang dibawa masuk ke dalam dewan negeri termasuk beg dan bungkusan.

“Saya ingin menegaskan perkara yang berlaku ketika sesi perbahasan persidangan semalam sewajarnya tidak lagi berulang.

“Saya harap tidak ada pula hendak membawa kambing atau lembu hari ini ya,” katanya berseloroh sebelum meneruskan persidangan yang memasuki hari keempat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Semalam, Muhamad Arafat mengejutkan Dewan pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 kira-kira 12.23 tengah hari apabila bertindak mengeluarkan ayam segar dari bungkusan beg di tempat duduknya.

Beliau berkata tindakan itu dilakukan kerana isu harga ayam yang membebankan rakyat ketika ini dilihat seolah-olah tiada tindakan serius daripada pihak berkuasa dan tidak melihat usaha dilakukan exco terlibat seperti mengadakan pertemuan bersama peruncit serta pengusaha bagi menangani masalah sebenar rakyat.

Tindakannya memegang ayam beberapa minit itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan malah ada antara Ahli Dewan Undangan Negeri yang mencelah dengan mengatakan “ayam itu letaklah…balik buat rendang” selain Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong) yang mempersoalkan sama ada rakyat bersedia menghadapi harga mentah ayam terutama apabila musim perayaan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

611
Kongsi :
Previous post COVID: 97.3 per cent of adult population fully vaccinated
Next post Jabatan Perikanan sedia perluas projek penternakan ikan
Ubah saiz-+=