SPM kali kedua, nekad ubah nasib

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TELOK MAS 26 Jun – “Cukuplah sekali saya pernah lukakan hati kedua ibu bapa (dan) dengan keputusan ini diharap menjadi permulaan untuk saya mengubah nasib keluarga,” itu kata bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, Telok Mas. Muhammad Hidayat.

Muhammad Hidayat, 20, antara pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 sekolah itu berjaya memperoleh keputusan 6A 1B 1C, yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut pemuda yang berasal dari Johor itu, SPM 2022 adalah kali kedua didudukinya selepas keputusan kali pertama tidak memuaskan.

Katanya, menyedari dengan keputusan SPM 2020 tidak akan membantunya, dia mengambil inisiatif untuk mengambil kali kedua dengan sasaran mendapat keputusan lebih baik yang boleh membantunya melangkah ke menara gading.

“Apa yang saya boleh katakan keputusan SPM dahulu satupun tiada A. Ia disebabkan ketika itu saya tinggal pembelajaran.

“Selepas tidak lama berada di sini kesedaran mula timbul apabila memikirkan masa depan sebelum saya nekad untuk mengambil SPM kali kedua pada tahun lalu,” katanya.

Dia ditemui pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2022, yang disempurnakan Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan, Komisioner Penjara Ajidin Salleh, di Sekolah Henry Gurney, hari ini.

Muhammad Hidayat berkata, dia dihantar ke Sekolah Henry Gurney pada Jun 2020 selepas terbabit dalam penyalahgunaan dadah sebelum dibebaskan baru-baru ini.

“Sepanjang berada di sini, banyak yang saya pelajari terutamanya mengenangkan nasib kedua ibu bapa yang sudah berusia.

“Daripada situ saya nekad untuk berubah kerana perlu ubah nasib keluarga memandangkan kami bukannya orang senang.

“Insya-Allah selepas ini dengan keputusan SPM yang ada saya menyambung pelajaran dalam jurusan pengurus kewangan dan perbankan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

869
Kongsi :
Previous post Ketegangan di Rusia: Kerajaan sedia bawa pulang rakyat Malaysia – Ahmad Zahid
Next post Satu kampung, satu penyembelih haiwan bertauliah – Exco
Ubah saiz-+=