SPN tawar belia terokai pengalaman bekerja

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 4 Dis. – Skim Perantisan Nasional (SPN) mampu melonjak kebolehpasaran belia dalam pelbagai bidang yang mana ia perlu direbuti golongan berkenaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pihaknya menyeru kepada semua belia di negeri ini menyertai skim terbabit sekali gus memberi peluang golongan berkenaan mengumpul pengalaman bekerja dalam pelbagai bidang yang ditawarkan.

Katanya, SPN berperanan sebagai latihan dalam tempoh penempatan bagi meningkatkan kebolehan individu sebagai pekerja berkemahiran.

“Golongan belia perlu bertindak segera bagi mendapatkan peluang tersebut ketika negera berdepan kesulitan untuk menawarkan peluang pekerjaan, malah program ini membuka (permohonan) buat mana-mana belia di negara ini sekali gus mampu mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

“Konsep ‘place and train’ diguna pakai dalam program ini menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi mendapatkan pengalaman bekerja dalam sektor swasta mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatannya di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program tersebut menawarkan tempoh enam bulan buat perantis dengan kadar pembayaran elaun bulanan sebanyak RM2,000 buat lepasan Sarjana Muda dan RM1,300 buat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), Diploma dan setarafnya.

“Malah, menerusi program ini juga subsidi disalurkan kepada majikan sebanyak RM600 melalui inisiatif PENJANA bagi menampung bayaran elaun tersebut kepada perantis.

“Mana-mana pihak yang mahu melakukan permohonan tersebut boleh melakukan permohonan di atas talian melalui pendaftaran pekerjaan SPN di laman portal, ebelia.iyres.gov.my.

“Calon yang memenuhi syarat akan disenarai pendek untuk dipanggil temuduga  dan akan dilaksanakan di pusat temuduga berhampiran yang ditetapkan mahupun menerusi platfrom digital,”katanya.

Views:

553
Kongsi :
Previous post RM3.17 juta naik taraf Kompleks Rakan Muda Alor Gajah
Next post Zainal kekal bimbing Melaka United
Ubah saiz-+=