Statistik kemalangan Melaka turun lebih 60 peratus sepanjang PKP, PKPB

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 10 Julai – Statisik kemalangan termasuk kes maut di negeri ini mencatatkan penurunan 63 peratus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, penguatkuasaan PKP pada 18 Mac hingga PKPB yang berakhir pada 9 Jun lalu, merekodkan sebanyak 1,654 kes kemalangan di Melaka.

Berbanding kes kemalangan dalam tempoh sama tahun lalu, beliau berkata, sebanyak 4,517 kes kemalangan direkodkan.

“Ini menunjukkan jumlah kes kemalangan menurun 2,863 kes atau 63 peratus sepanjang tempoh tersebut.

“Antara penurunan kes kemalangan jalan raya termasuk disebabkan pengurangan jumlah kenderaan di atas jalan raya sepanjang penguatkuasaan PKP dan PKPB,” katanya ketika ditemui MHI di pejabat JSPT negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini.

Hasan berkata, kes kemalangan maut turut merekodkan penurunan sebanyak 31 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Lapan kes maut masing-masing direkodkan di Melaka Tengah dan Alor Gajah manakala lima di Jasin menjadikan jumlah keseluruhan kes maut 21 kes.

“Berbanding kes maut dalam tempoh 18 Mac hingga 9 Jun tahun lalu, sebanyak 52 kes maut direkodkan iaitu 23 kes di Melaka Tengah, Alor Gajah (19) dan Jasin (10),” katanya.

Tambahnya lagi, jumlah kes kematian akibat kemalangan turut merekodkan penurunan iaitu sebanyak 23 kes pada tahun ini berbanding 53 kes pada tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan kes kematian dan kes kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Views:

321
Kongsi :
Previous post Norhizam dijangka kembali bertugas dalam masa terdekat
Next post Cemas kaki tergelincir dalam tangki ammonia
Ubah saiz-+=