Strawberi manis dari ‘negeri panas’

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

SUNGAI UDANG 15 Julai – Kemahuan untuk mencari kelainan dan kesungguhan wanita ini berbudi kepada tanah dengan menanam pokok strawberi berbaloi, apabila usahanya itu kini membawa pulangan lumayan.

Dengan menjual anak pokok strawberi yang popular sebagai tanaman iklim sejuk di tanah tinggi dia kini meraih pendapatan mencecah ribuan ringgit setiap bulan.

Siti Marziah Abd Ghapar, 36, berkata, atas dasar minat berbudi kepada tanah dia mengambil keputusan berhenti daripada perkhidmatan pegawai farmasi di sebuah hospital kerajaan di negeri ini, meskipun sedar akan kehilangan pendapatan tetap yang lumayan setiap bulan.

“Jika masih terus makan gaji saya boleh dianggap berada dalam zon selesa kerana bayarannya tinggi, tetapi suara hati ini mendorong saya untuk ‘angkat kaki’ dan beralih ke bidang pertanian.

“Meskipun pada awalnya banyak kekurangan daripada segi ilmu menyebabkan pokok tidak berbuah tetapi saya istiqamah dan buat kajian sendiri mencari jalan bagaimana mahu menghasilkan produk terbaik.

“Saya benar-benar serius, alhamdulillah detik manis ditunggu tiba apabila pokok mula berbuah Ogos tahun lalu. Hasil dikeluarkan boleh tahan banyak dan habis dipetik pada sambutan Aidilfitri lalu,” katanya.

strawberi 5
SITI Marziah melihat tanaman strawberi yang diusahakannya di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Berkongsi kisahnya Siti Marziah yang juga pemegang Ijazah Farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, setakat ini dia mempunyai kira-kira 600 anak pokok strawberi.

Jelasnya jumlah itu membabitkan 12 jenis pokok strawberi yang antaranya adalah ‘Festival’, ‘Japanese Sweet Charlie’, ‘Ruby Ann’ dan ‘Angel Eight’

Menurutnya, jualan hanya dibuka apabila dia mempunyai jumlah stok anak pokok dalam jumlah mencukupi dengan pendapatan harian diperoleh adalah sekitar RM300 hingga RM500 setiap hari.

“Anak pokok strawberi ini cepat membiak, tidak cerewet untuk dijaga. Lebih menarik buah dihasilkan setakat ini alhamdulillah manis dan sedap seperti diusahakan di tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Pahang, cuma saiz agak kecil,” katanya.

strawberi 4
ANAK pokok strawberi yang boleh menjana pendapatan lumayan kepada keluarga ini. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ibu kepada dua anak itu berkata, apa yang diusahakan bukan semata-mata untuk menjana pendapatan, sebaliknya dia mempunyai visi besar dalam bidang itu.

“Misi saya untuk menarik minat generasi muda supaya bercucuk tanam. Malah tanaman strawberi ini juga mudah untuk menarik minat anak-anak kecil turut sama berkecimpung.

“Selain daripada itu, apa yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu banyak mengajar untuk kita khususnya generasi muda didedahkan minat dengan bercucuk tanam,” katanya.

Tambah Siti Marziah, selain perancangan menambah lagi variati anak pokok, dia kini kearah penggunaan 100 peratus baja organik dalam menyokong kehidupan sihat dan selamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2574
Kongsi :
Previous post 50 peratus kontraktor Melaka gulung tikar akibat COVID-19
Next post Nabila Razali ajak peminat ‘healing’ di Melaka
Ubah saiz-+=