Suami isteri, mualaf merempat di belakang lot kedai diselamatkan KM

Masa Membaca:2 Minit, 49 Saat

KESIDANG 13 Julai – Ruang berdindingkan papan lapis dan helaian kain perca selain beralaskan tilam lusuh di belakang sebuah lot kedai di Taman Merdeka, di sini, menjadi tempat berteduh buat sepasang suami isteri sejak sebulan lalu.

Zaini Mohd Amin, 37, berkata, dia dan isteri tinggal di situ bersama seorang warga emas mualaf yang dikenali sebagai Ghani apabila terpaksa keluar dari rumah pangsa di Taman Merdeka Permai yang didiami atas ihsan abang angkatnya sebelum ini.

Disebabkan tiada arah tuju, selain hilang kerja apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia kini hanya bergantung kepada pendapatan daripada jualan besi buruk dan tin menyebabkannya tidak mampu mencari tempat lebih selesa.

TEMPAT berteduh buat sepasang suami isteri dan seorang mualaf warga emas di Taman Merdeka yang sebelum ini tidak diketahui sesiapa.

“Kami terpaksa keluar apabila rumah itu sudah mempunyai penyewa baharu dan kebetulan selepas diminta keluar saya bertemu dengan Ghani yang mengajak saya dan isteri tinggal di belakang lot kedai ini.

“Disebabkan tiada pilihan kami terpaksa membawa pakaian kami dan tinggal di sini sejak sebulan lalu.

“Makan dan tidur semuanya di sini dan untuk mandi kami akan ke tandas di medan selera berhampiran,” katanya.

Isterinya, Norhasidah Nasurah, 27, mengakui tidak pernah memberitahu ahli keluarganya di atas nasib yang menimpa mereka sejak lebih sebulan lalu hingga terpaksa merempat di belakang lot kedai.

Selain tidak mahu menyusahkan keluarga, dia yang berasal dari Durian Tunggal juga khuatir terpaksa berpisah dengan suami yang dinikahi lapan tahun lalu.

“Sebulan ini adalah satu tempoh yang paling sukar buat saya dan suami. Ada suatu ketika kami terpaksa ikat perut selama dua hari kerana tiada wang untuk makan.

“Tetapi saya memang tidak memaklumkan kepada keluarga kerana tidak mahu menyusahkan mereka, selain saya juga sangat sayangkan suami dan risau jika kami dipisahkan.

“Sebab itulah, saya sanggup tinggal di sini dengan suami walaupun hidup serba kekurangan,” katanya dalam nada sebak.

MUHAMMAD Ahyad berbincang untuk memindahkan pasangan suami isteri itu di sebuah rumah yang lebih selesa di Telok Mas, selain membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Bagaimanapun, nasib pasangan suami isteri bersama mualaf berbangsa India itu sampai ke pengetahuan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang terus mengambil tindakan segera menyelamatkan mereka.

Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Muhamad Ahyad Abdullah yang mewakili ketua menteri memaklumkan, pihaknya akan membantu mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa buat suami isteri berkenaan, selain mendapatkan pekerjaan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya lagi, mualaf warga emas berkenaan pula akan dibawa tinggal Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bermula hari ini.

“Sejurus mendapat maklumat daripada Ketua Menteri tengah malam tadi, saya terus ke sini dan terkejut melihat pasangan ini dan warga emas yang tinggal dalam keadaan daif di belakang bangunan rumah kedai.

“Tanpa membuang masa, saya terus menghantar mereka menginap di sebuah hotel berdekatan malam tadi juga dan hari ini kami akan berbincang untuk memindahkan suami isteri ini ke sebuah rumah lebih selesa.

“Insya-Allah, selain itu, melalui agensi kerajaan juga kita akan melihat bentuk bantuan yang bersesuaian untuk membantu pasangan ini buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Zaini dan isteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi menghulurkan bantuan pantas apabila mengetahui nasib mereka.

Dia turut bertekad akan mengubah nasib hidupnya dan isteri agar tidak lagi mengulangi nasib yang sama pada masa depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

771
Kongsi :
Previous post Pertandingan Pidato Rukun Negara bawa kelainan Kategori Bukan Melayu
Next post COVID-19: Malaysia catat rekod kes harian tertinggi 11,079 kes
Ubah saiz-+=