Pertandingan Pidato Rukun Negara bawa kelainan Kategori Bukan Melayu

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

SERI NEGERI 13 Julai – Pertandingan Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, membawa kelainan dengan menampilkan Kategori Bukan Melayu.

Exco Perpaduan, Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, kategori itu sebagai elemen serta cabaran buat peserta Melayu dalam memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan itu.

“Ini tahun kedua pertandingan dan kali pertama kita memperkenalkan Kategori Bukan Melayu supaya mendapat lebih ramai penyertaan dari seluruh negara.

“Kita harap ada belia bukan Melayu akan menyertai pertandingan dan saya yakin penyertaan akan bertambah ramai sehingga 31 Julai ini.

“Hari ini penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan orang bukan Melayu tak ada masalah dan kita perlu pergiatkan lagi bahasa kebangsaan ini supaya boleh dimartabat dan digunakan dalam semua sektor,” katanya.

ISMAIL dan Noor Effandi menunjukkan poster pertandingan pidato tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media disaksikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, di sini hari ini.

Sementara itu Exco Pendidikan Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, pertandingan itu menyasarkan penyertaan tiga atau empat kali ganda berbanding penganjuran pertama pada tahun lalu.

“Tahun lalu kita dapat penyertaan hampir 300 di Melaka saja, tahun ini kita yakin menjelang 31 Julai ini boleh dapat penyertaan tiga atau empat kali ganda.

“Hadiah yang ditawarkan juga sangat menarik seperti piala pusingan, wang tunai RM5,000 dan koleksi buku bagi Kategori Awam,” katanya.

ISMAIL.

Untuk rekod tempoh pendaftaran penyertaan dibuka selama 27 hari bermula 5 hingga 31 Julai ini dan peserta boleh menghantar rakaman video pidato masing-masing ke e-mel [email protected] pada tempoh yang telah ditetapkan.

Saringan pertama dilakukan pada 9 hingga 12 Ogos depan, manakala peringkat separuh akhir bermula pada 16 hingga 17 Ogos.

Peringkat akhir pertandingan adalah pada 21 Ogos diadakan secara langsung di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Lima kategori dipertandingan seperti Kategori Awam, institusi pengajian tinggi (IPT), Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Bukan Melayu yang menawarkan hadiah antara RM300 hingga RM5,000.

Maklumat lanjut berkaitan pertandingan berkenaan boleh hubungi urus setia pidato di talian 06-3174475/ 011-11117547 (Institut Tun Perak).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2082
Kongsi :
Previous post PPV IDCC ditutup sehari, 204 petugas positif
Next post Suami isteri, mualaf merempat di belakang lot kedai diselamatkan KM
Ubah saiz-+=