SUKAN MENSEJAHTERAKAN WARGA EMAS

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 29 November – Penyediaan sektor sukan dan rekreasi secara proaktif perlu dilaksanakan untuk warga emas dalam memastikan kesejahteraan kumpulan sasar itu terjamin.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, itu antara strategi kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat inklusif dalam sektor berkenaan.

“Dalam tempoh kurang tujuh tahun iaitu pada 2030, Malaysia dijangka mencapai status negara menua apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah terdiri daripada warga emas.

“Selaras dengan itu, tindakan secara proaktif adalah perlu bagi memastikan kesejahteraan warga emas melalui penyediaan perkhidmatan kebajikan dan sosial bagi kumpulan sasar ini.

“Justeru, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengerakkan usaha dalam sektor sukan dan rekreasi seperti penganjuran Program Cabaran Sukan Warga Emas yang mampu memupuk semangat perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penutup Program Cabaran Sukan Warga Emas Tenpin Bowling Peringkat Negeri Melaka 2024, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, Mohamad Mazlan Anis; Presiden Kelab Badminton Excellent, Mariasah Sarip dan Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Melaka, Mat Johan Jahis.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan inisiatif digerakkan KBS melalui program ini kerana ia dapat menjamin kesejahteraan dan kesepaduan rakyat.

“Hasrat ini selari dengan agenda kerajaan untuk terus komited menjadi sebuah kerajaan berkeupayaan tinggi dalam memberi perkhidmatan kelas pertama.

“Saya percaya program ini mampu merealisasikan matlamat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan berbudaya sukan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai ‘Negara Bersukan’ merangkumi pelbagai generasi termasuk golongan warga emas.

“Sektor sukan dan rekreasi menjadi medium utama dalam merealisasikan gerakan ini yang mana pelbagai program sukan telah dilaksanakan di seluruh negeri sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

11
Kongsi :
Previous post PRODUK INOVASI DARI MELAKA RAIH ANUGERAH EMAS
Next post PERTUMBUHAN EKONOMI USAHAWAN PMKS MELAKA MENINGKAT
Ubah saiz-+=