Sumbangan Mohd Khalil untuk Melaka amat dihargai – Mohd Ali

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun (Dr) Mohd Ali Rustam menzahirkan penghargaan terhadap Tun Dr Mohd Khalil Yaakob atas bakti dan sumbangannya dalam membangunkan dan memajukan negeri sepanjang 16 tahun yang lalu, iaitu sejak beliau menjawat jawatan tersebut.

Mohd Ali berkata, sumbangan dan idea Mohd Khalil dalam soal pembangunan dan mensejahterakan rakyat Melaka tidak dapat dinafikan.

“Sudah pasti pencapaian itu memberikan kesan yang mendalam dan impak yang besar kepada pembangunan negeri, malah sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat serta selalu turun padang.

“Malah Mohd Khalil juga adalah penasihat yang bersama-sama dengan pentadbiran kerajaan yang sentiasa berusaha untuk membangunkan Melaka sehingga dikenali sebagai negeri pelancongan yang diiktiraf peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah tugas Yang di-Pertua Negeri Melaka di pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasim Hasan.

Menurut Mohd Ali, Mohd Khalil juga banyak membantu usaha kerajaan negeri sehingga Melaka berjaya diiktiraf sebagai sebuah negeri maju pada 2010 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) ketika beliau menjadi Ketua Menteri.

“Mohd Khalil juga dikenali sebagai seorang versatil yang mempunyai pelbagai kebolehan serta berjiwa seni dan minat beliau dalam bidang seni lukis telah menghasilkan lebih 100 buah catatan dan lukisan,” katanya.

Views:

658
Kongsi :
Previous post Solat Jumaat: Melaka pertimbang tambah bilangan jemaah di semua masjid dan surau
Next post PENJANA: Sektor pelancongan dijangka terima impak positif
Ubah saiz-+=