PENJANA: Sektor pelancongan dijangka terima impak positif

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

MASJID TANAH 6 Jun – Kerajaan negeri yakin Pelan Pemulihan Ekonomi Negara Jangka Pendek (PENJANA) dijangka  memberi kesan positif pada ekonomi negeri, terutama dalam hal membabitkan sektor pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya menyokong penuh pengumuman yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pengecualian cukai pelancongan dikenakan buat pemain industri sektor itu berikutan penularan pandemik Covid-19.

Ujarnya, sebagai sebuah negeri pelancongan pihaknya yakin kaedah itu sebagai langkah strategik bagi memberi khabar gembira untuk merangsang semula sektor pelancongan termasuk perhotelan.

“Pengumuman ini juga dapat melegakan pemain industri ini berikutan terdapat penangguhan bayaran ansuran anggaran cukai dan apa yang kita harapkan mereka perlu ambil peluang ini bagi menjana semula ekonomi selepas penularan wabak ini.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita ketahui banyak produk pelancongan di negeri ini yang terjejas dan terkesan disebabkan COVID-19.

“Diharap pihak perhotelan dapat manfaatkannya dalam masa sama mengaktifkan pakej-pakej pelancongan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakuan lawatannya di Pasar Besar Masjid Tanah, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ismail Othman; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar serta tetamu lain.

Terdahulu, menerusi pengumuman Muhyiddin semalam, Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion akan ditawarkan bagi membiayai inisiatif transformasi oleh PKS sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era normal baharu.

Menurut Sulaiman lagi, pihaknya akan terus menyokong inisiatif terbabit bagi memberi galakkan kepada pemain industri sektor itu melalui tawaran pakej dan produk pelancongan masing-masing bagi menjana ekonomi negeri dan negara.

“Tetapi, jika ada pemain industri ini yang kurang jelas mengenai inisiatif tersebut mereka boleh merujuk semula bagi mendapatkan maklumat tepat supaya skim dan pakej ini benar-benar dapat memulihkan masalah ekonomi yang melanda,” katanya.

Views:

700
Kongsi :
Previous post Sumbangan Mohd Khalil untuk Melaka amat dihargai – Mohd Ali
Next post Mara Mall: Jika SPRM mahu siasat, dipersilakan – KM
Ubah saiz-+=