Sungai Kesang bakal jadi lokasi ‘River Cruise’ ketiga Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SUNGAI RAMBAI 1 April – Sungai Kesang di sini, bakal diangkat menjadi lokasi pelancongan Gerbang Selatan dengan mewujudkan Melaka River Cruise (MRC) ketiga di negeri ini.

Ia sekali gus bakal melengkapkan tarikan pelancongan menelusuri sungai di kesemua tiga daerah di negeri ini selepas Sungai Melaka (Melaka Tengah) dan Sungai Linggi (Alor Gajah).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bagaimanapun akan menjalankan kajian di sungai berkenaan terlebih dahulu bagi melihat kesesuaiannya untuk diperkenalkan kepada pelancong.

Jelasnya, kajian tersebut akan dijalankan selama 60 hari dengan mengambil beberapa indikator, termasuklah kedalaman sungai dan pelbagai lagi.

“Buat masa ini saya minta diletakkan sebuah bot dahulu untuk lihat kebolehupayaan sungai ini menjadi satu lagi tarikan pelancongan yang baharu.

“Bot yang ditempatkan itu sama seperti di Eco-Cruise Sungai Linggi, jadi sama ada perkara ini boleh direalisasikan atau tidak bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan.

“Kalau boleh (hasil kajian positif) sudah pasti kawasan ini akan kita majukan sebagai tempat tarikan pelancongan ketiga dalam Negeri Melaka menyediakan ‘River Cruise’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka 2024 di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerk Chee Yee; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut memaklumkan penjenamaan semula Laman Belia kepada nama baharu iaitu Dataran Riverside Sungai Rambai.

Menurut Ketua Menteri, perubahan nama baharu itu sebagai daya penarik kepada lebih orang muda, selain ia juga bertujuan mengetengahkan lokasi berkenaan yang terletak di pesisir sungai.

“Jika perancangan mewujudkan ‘River Cruise’ di sini berjaya, tidak mustahil kawasan ini akan bertambah maju sebagai satu lagi tarikan pelancongan baharu Melaka,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1395
Kongsi :
Previous post Bekalan air Melaka cukup pada Aidilfitri ini – KM
Next post MBMB sedia kaji syarat penganjuran bazar Aidilfitri
Ubah saiz-+=