MBMB sedia kaji syarat penganjuran bazar Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 April – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedia mengkaji semula syarat penganjuran bazar Aidilfitri di negeri ini supaya tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, setiap penganjuran bazar seharusnya perlu mempunyai elemen kemanusiaan bagi tujuan membantu golongan tidak bernasib baik menerusi keuntungan yang diperolehi.

Katanya, penubuhan tabung kemanusiaan sebagai contoh Tabung Palestin boleh dianggap sebagai serampang dua mata yang boleh diperkenalkan pada penganjuran bazar Aidilfitri di bawah pentadbiran MBMB.

“Bazar di Jalan Hang Tuah atau Melaka Grand Bazaar (Melgrab) ini boleh dijadikan teladan kepada bazar-bazar Aidilfitri yang lain sebagaimana dalam usaha mencari keuntungan pada musim perayaan mereka tidak juga lupa pada golongan memerlukan.

“Jadi ini salah satu contoh yang baik mungkin boleh dijadikan contoh oleh penganjur bazar Aidilfitri yang lain.

“Inisiatif menubuhkan tabung kemanusiaan di tapak bazar ini amat wajar kerana menjadi tumpuan orang ramai untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin di Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, tabung berkenaan tidak menetapkan sebarang sasaran kerana ia bergantung kepada jumlah pengunjung dan peniaga yang berhasrat menyumbang kepada tabung berkenaan.

Namun pihaknya yakin kutipan tabung mampu mencecah puluhan ribu ringgit susulan kehadiran pengunjung bazar terbabit yang amat memberangsangkan.

“Dimaklumkan hasil kutipan tabung itu akan diserahkan kepada pihak berkaitan sebelum disalurkan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel di Gaza,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

161
Kongsi :
Previous post Sungai Kesang bakal jadi lokasi ‘River Cruise’ ketiga Melaka
Next post TMM2024: Melaka terima 3 juta pelancong setakat Mac
Ubah saiz-+=