Sungai Melaka Fasa 2 berkonsep hiburan, rekreasi

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

BANDAR MELAKA 23 Disember – Sebuah pakej pelancongan berkonsepkan hiburan dan rekreasi akan diperkenalkan di Sungai Melaka Fasa 2 mulai tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), TPr. Datuk Murad Husin berkata, pakej yang diperkenalkan menerusi bot Melaka River Cruise itu akan menawarkan beberapa lokasi persinggahan taman tema kepada pengunjung.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya terdapat enam taman tema yang bakal menjadi lokasi persinggahan pengunjung menerusi pakej yang akan diperkenalkan nanti.

“Kita memang ada perancangan untuk perkenalkan beberapa lokasi persinggahan dari Taman Rempah sehingga ke Batu Hampar seperti tarikan yang akan dibangunkan adalah Taman Sigua.

“Malah lokasi di Jeti Pusat Informasi Melaka River Cruise yang ada sekarang akan dijadikan sebagai stesen utama untuk perkhidmatan bot itu pada fasa kedua nanti.

“Melaka River Cruise yang ada di Sungai Melaka Fasa Pertama sekarang adalah lebih menjurus kepada tarikan pelancongan menyelusuri sungai dan memperkenalkan sejarah tetapi untuk fasa kedua ini ia lebih kepada pelancongan berteraskan hiburan dan rekreasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan High Tea bersama Penggiat Industri Korporat, Perhotelan dan Media Negeri Melaka di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri merangkap Timbalan Pengerusi PPSPM, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Murad berkata, Pirate Park yang bakal digantikan dengan Taman Sigua pada tahun hadapan merupakan antara tarikan terbaharu dalam perkhidmatan pelancongan itu.

Jelasnya, projek pembinaan taman tema baharu itu akan bermula tahun hadapan dan dijangka bakal beroperasi pada Oktober 2023.

“Pirate Park yang terhenti pengoperasiannya selama tiga tahun akan digantikan dengan produk baharu ini bakal menarik lebih ramai pengunjung untuk menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise.

“Setakat ini kita sedang mendapat kelulusan teknikal daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum melaksanakan pembinaan baharu untuk tarikan ini,” katanya.

IMG_20221222_223230_186
MELAKA 22 DISEMBER 2022. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Datuk TPr. Murad Husin mengadakn sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Dan High Tea di Hotel LaCrista, Jalan Hang Tuah, Melaka. Foto: MR. AZLI

 

Dalam perkembangan lain, Murad berkata, PPSPM akan mengorak langkah memperkenalkan pelbagai tarikan baharu di Sungai Melaka yang kini terus menerus menerima peningkatan pengunjung terutama selepas negara berada pada fasa pemulihan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, sepanjang Januari hingga 19 Disember pihaknya menerima 737,514 pengunjung, sekali gus menghampiri sasaran 750,000 yang ditetapkan.

“Tahun hadapan kita menyasarkan untuk mencapai 800,000 kehadiran pengunjung menggunakan perkhidmatan ini dan sekiranya momentum yang diberikan begitu menggalakkan PPSPM mampu yakin mencapai satu juta pengunjung pada tahun 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4161
Kongsi :
Previous post Henti anjur majlis besar-besaran – PM
Next post Tanah runtuh: Usaha cari mangsa terakhir diteruskan pagi ini
Ubah saiz-+=