Sungai Rambai dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SUNGAI RAMBAI 17 April – Sungai Rambai akan diangkat sebagai destinasi agro pelancongan, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Dr. Muhamad Akmal berkata, Sungai Rambai memiliki potensi besar dalam menjana pendapatan khusus membabitkan agro pelancongan berikutan memiliki kawasan sawah padi yang boleh dibangunkan meskipun tidak seluas Negeri Kedah.

Katanya Sungai Rambai juga perlu dikekalkan sebagai kawasan perkampungan selain memulihara keindahan alam yang ada.

“Sebagai negeri pelancongan, kita tidak boleh berdasarkan industri itu semata-mata, jadi ‘moving forward’ (bergerak ke hadapan), sudah tentu kita hendak fokus kepada agro pelancongan.

“Melaka ada kawasan sawah tapi tidak besar. Maka kita perlu memanfaatkan kawasan kecil untuk mendapatkan hasil jauh lebih lumayan daripada apa yang sepatutnya.

“Sebab itu kalau kita tengok di Sungai Rambai, kita ada sawah padi dan kawasan tanah-tanah yang boleh dibangunkan. Sungai Rambai perlu dikekalkan sebagai kawasan perkampungan yang indah sebab itu kita memilih sebagai (kawasan) agro pelancongan, satu industri yang akan diusahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Festival Kuih Tradisional dan Pelita Raya Aidilfitri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di perkarangan R&R Sungai Rambai arah selatan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abd Azis.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata perbincangan sudah dilakukan bersama Pengarah Tourism Melaka selain perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Ia sebagaimana hasrat Ketua Menteri untuk melihat kawasan Sungai Rambai dibangunkan menjadi kawasan agro pelancongan utama Negeri Melaka,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1407
Kongsi :
Previous post Telur, ayam, daging di Melaka cukup
Next post Konstabel sangka ditipu ‘scammer’, rupanya betul-betul menang kereta
Ubah saiz-+=