Konstabel sangka ditipu ‘scammer’, rupanya betul-betul menang kereta

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 April – Seorang anggota polis berpangkat konstabel seakan tidak percaya perbelanjaannya bersama keluarga di Melaka Grand Ramadan Bazar @Jalan Hang Tuah (MELGRAB), di sini, memberikan hadiah paling istimewa dalam hidupnya.

Muhamad Sharul Aiemi Abdullah, 21, yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan muncul pengunjung paling bertuah apabila dipilih sebagai pemenang utama cabutan bertuah yang melayakkannya membawa pulang sebuah kereta Proton Persona.

Dia yang berbelanja lebih RM800 bagi membeli baju raya dan bunga api untuk keluarga bagaimanapun bersyukur kerana doa kedua orang tuanya memberikan rezeki Ramadan dan Aidilfitri yang tidak disangka-sangka.

“Semasa dihubungi YB Mohd Noor Helmy (Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong) kelmarin, saya sangka telah ditipu ‘scammer’.

“Tetapi selepas melihat siaran langsung di TikTok memang nama saya yang dipilih dan saya terus balik ke Melaka kerana teruja.

“Hadiah ini merupakan yang paling istimewa terutama berkat doa ibu bapa saya kerana merekalah yang menyuruh saya mengisi nama pada kupon cabutan bertuah walaupun pada awalnya saya enggan berbuat demikian,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, malam tadi.

Terdahulu, Muhamad Sharul Aiemi menerima replika kunci kereta selaku pemenang utama cabutan bertuah MELGRAB 2023 daripada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pentas Utama MELGRAB.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, kereta berkenaan disifatkan sebagai hadiah Aidilfitri untuknya yang memang berhasrat untuk memiliki kereta sendiri.

“Selepas tiga bulan melapor diri dan bertugas saya memang memasang impian untuk ada kereta sendiri, tetapi tidak sangka rezeki saya dapat kereta secara percuma.

“Ini juga hadiah untuk keluarga saya kerana selama ini kami hanya bergantung pada kereta yang kecil, jadi dengan kereta baharu ini kami sekeluarga akan lebih selesa untuk kemana-mana sahaja bersama,” katanya yang berasal dari Lorong Pandan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3222
Kongsi :
Previous post Sungai Rambai dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan
Next post Kompleks Air Panas Gadek buka peluang untuk orang kampung
Ubah saiz-+=