Kompleks Air Panas Gadek buka peluang untuk orang kampung

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

GADEK 17 April – Kompleks Air Panas Gadek yang dijangka kembali beroperasi Ogos depan membuka pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk sekitar dalam sektor pelancongan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam berkata, penduduk perlu bersedia dengan limpahan itu berikutan pelbagai peluang perniagaan akan ditawarkan bagi menarik pelancong yang datang.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, mercu pelancongan yang kini sedang dinaik taraf itu bakal memperkenalkan pelbagai produk desa untuk diketengahkan dalam sektor pelancongan negeri.

“Ini sebagai persediaan kita untuk menarik lebih ramai pelancong yang datang, jadi kita minta pihak kampung terutama pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk kenal pasti agar kita dapat jalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan ini.

“Ia termasuk dengan produk desa seperti kraftangan, barangan tempatan dan makanan-makanan ikonik di Gadek seperti kuih bakar, cucur badak dan cucur udang dipasarkan di mercu pelancongan baharu ini.

“Kita akan benarkan dan galakkan mereka berniaga kerana Melaka adalah negeri mesra berniaga, tetapi ia perlu mendapat kelulusan dan perlesenan daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Iftar bersama Exco Belia, Sukan dan NGO di Kompleks Japerun Gadek, di sini, semalam.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan, Kompleks Air Panas Gadek berkeluasan 4.05 hektar akan berwajah baharu dengan berkonsepkan ‘Spa dan Wellness’.

Tempoh naik taraf yang dilaksanakan sejak Ogos 2021 itu akan dilengkapi 20 bilik hotel, lapan chalet, satu spa keluarga, dua kolam air panas rendaman kaki serta fasiliti lain seperti surau, tandas dan bilik persalinan menelan kos sebanyak RM17.9 juta.

Ia dijangka akan menarik kira-kira 360,000 pengunjung bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2472
Kongsi :
Previous post Konstabel sangka ditipu ‘scammer’, rupanya betul-betul menang kereta
Next post Laporan penuh anggota tentera ditemukan maut tidak lama lagi
Ubah saiz-+=