Laporan penuh anggota tentera ditemukan maut tidak lama lagi

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TABOH NANING 17 April – Laporan penuh siasatan berhubung insiden anggota tentera ditemukan meninggal dunia di Hutan Simpan Belum dekat Gerik, Perak, akan diumumkan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata setakat ini siasatan terpeinci mengenai insiden itu masih dijalankan.

Adly berkata, mengikut kebiasaan laporan hasil siasatan akan dibawa ke mesyuarat pasca kabinet iaitu pada setiap petang Rabu.

“Jadi, laporan (penuh) kita akan dapat selepas sambutan Aidilfitri. Mesyuarat pasca kabinet ini merupakan mesyuarat tertinggi dalam Kementerian Pertahanan,

“Pelbagai isu berbangkit termasuk laporan mengenai insiden anggota tentera ini akan dibincangkan pada waktu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Alor Gajah di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Adly berkata pihak kementerian akan menjaga kebajikan anak-anak dan balu Allahyarham Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib, 33, daripada Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang.

Terdahulu, media melaporkan hasil bedah siasat dilakukan di Hospital Permaisuri Bainun mendapati kematian Mohammad Nasri berpunca daripada kecederaan kepala dipercayai akibat terjatuh.

Mayatnya dijumpai pada Rabu oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat berikutan laporan kehilangannya di pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, sejak 7 April lepas semasa operasi penugasan di kawasan itu.

Jenazah Mohammad Nasri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pulau Mertajam, Penaga di Pulau Pinang pada 13 April.

Allahyarham meninggalkan isteri Nurhayatul Husna Abdul Muttalib, 30, serta sepasang anak Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, 2.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

769
Kongsi :
Previous post Kompleks Air Panas Gadek buka peluang untuk orang kampung
Next post Perluas TVET kepada anak-anak veteran tentera
Ubah saiz-+=