Perluas TVET kepada anak-anak veteran tentera

Masa Membaca:59 Saat

TABOH NANING 17 April – Kementerian Pertahanan akan memperluaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada anak-anak veteran tentera.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata pihaknya melihat anak-anak veteran sebagai satu kumpulan besar yang perlu diberi keutamaan.

“Kita akan lihat bidang TVET apa yang sesuai untuk anak-anak veteran ini. Usaha ini juga mampu menyediakan sumber manusia kepada negara.

“Kementerian Pertahanan memberi keutamaan kepada TVET dan kita telah mengadakan pertemuan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat-syarikat swasta yang terkait dengan kementerian, termasuk dalam industri pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Alor Gajah di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

Adly turut memaklumkan beliau telah menghadiri dan mengutarakan persoalan mengenai TVET dalam kalangan veteran dan anak-anak veteran pada Mesyuarat TVET yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Katanya, hal itu kerana TVET dalam kalangan veteran sering berkait rapat dengan keusahawanan.

“TVET ini kebiasaannya di Kementerian Pertahanan sering dikaitkan dengan veteran tentera atau anggota yang akan berpencen sahaja, namun perkara perluas TVET kepada anak-anak veteran kini sedang dirangka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1186
Kongsi :
Previous post Laporan penuh anggota tentera ditemukan maut tidak lama lagi
Next post Machap Jaya bermandi cahaya
Ubah saiz-+=