Sorting by

×

Suntikan dos ketiga vaksin dijangka awal Oktober – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ALOR SETAR 19 Sept. – Kerajaan dijangka melaksanakan suntikan vaksinasi dos ketiga atau dos penggalak awal Oktober ini kepada golongan rentan sebagai kumpulan pertama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata polisi pelaksanaannya akan diumumkan dalam masa terdekat dan keutamaan diberikan kepada golongan berisiko tinggi.

“Kita telah kenal pasti golongan rentan, ataupun golongan berisiko tinggi yang mana akan mendapat keutamaan antaranya adalah warga emas yang mempunyai komorbiditi ataupun masalah kesihatan yang kronik, petugas barisan hadapan yang mempunyai penyakit atau berisiko tinggi.

“Selain mereka yang ada sistem imunisasi yang lemah dan mereka yang berada dan bekerja di pusat jagaan warga emas.

“Ini kita utamakan dahulu…selepas ini kita akan buka kepada golongan yang lain, yang ini mungkin kita dapat laksanakan pada awal Oktober untuk kumpulan pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja beliau dan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di Wisma Darul Aman, Kedah hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan kepada golongan rentan itu penting kerana mereka adalah individu yang mempunyai rekod tertinggi dalam data kematian.

“Golongan inilah daripada data kematian, data kategori lima masuk Unit Rawatan Rapi (ICU), kebanyakan mereka terdiri daripada golongan tersebut.

“Ini bukan bermaksud dua dos tidak berfungsi, banyak negara telah mulakan dos penggalak termasuklah di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.

“Ini adalah untuk kita meningkatkan lagi sistem imun kita terhadap COVID-19,” katanya.

Jelasnya kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada dos penggalak itu diperlukan untuk semua.

“Kita belum buat keputusan sama ada dos ketiga ini dos penggalak ini diperlukan untuk semua, ini masih lagi dalam perbincangan kumpulan pakar.

“Di Amerika Syarikat baharu laksanakan untuk golongan 65 tahun ke atas, jadi setiap negara ada polisi yang berbeza seperti saya sebutkan kumpulan rentan tadi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post KPWKM fokus pulih, stabil emosi kanak-kanak yatim piatu akibat COVID – Rina
Next post Dalam tempoh seminggu 523 ‘check-in’ MySejahtera berstatus merah – Khairy
Ubah saiz-+=