Syarikat sektor pelancongan dan kebudayaan dibenar beroperasi tanpa CIMS

0
174
MOTAC memaklumkan kebenaran tersebut tertakluk kepada syarat lengkap vaksinasi bagi semua pekerja dan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ketat. Gambar fail MHI

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Syarikat dan premis perniagaan di bawah subsektor pelancongan dan kebudayaan kini dibenarkan beroperasi tanpa perlu membuat permohonan melalui Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS) berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada syarat lengkap vaksinasi bagi semua pekerja dan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Setiap syarikat atau premis perniagaan juga perlu memastikan jumlah pekerja tidak melebihi kapasiti maksimum dibenarkan, selain perlu mempamerkan salinan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia terkini dan lesen perniagaan premis daripada pihak berkuasa tempatan yang masih sah.

MOTAC menegaskan pihak industri bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi syarat ditetapkan kerajaan dan kompaun kesalahan selaras dengan Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) akan dikenakan jika gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Justeru, pihak industri juga dipohon untuk memberikan kerjasama bagi memastikan pematuhan terhadap SOP dan lain-lain arahan kerajaan yang dikeluarkan melalui Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa,” menurut MOTAC.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.