Syukur anak dapat sumbangan baju raya

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT PIATU 27 Mac – “Bukan sahaja terasa lega malah ringan rasa beban ditanggung apabila diberitahu anak dapat sumbangan baju raya,” itu kata penerima bantuan pakaian raya Khadijah Mohd Sani, 35.

Menurut Khadijah, dia tidak menyangka apabila anak sulungnya Muhammad Aqil Halif yang juga murid darjah satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Linggi terpilih sebagai penerima bersempena Program Tautan Kasih Ramadan Anjuran Zakat Melaka 2024.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dengan pendapatannya yang hanya bergantung kepada jualan kuih, dia menghadapi sedikit kekangan untuk membuat persediaan raya anak-anaknya memandangkan sesi persekolahan baru sahaja bermula.

“Alhamdulillah, murah rezeki anak apabila terpilih untuk menerima baju raya, sememangnya saya masih berfikir-fikir untuk membeli baju baharu untuk anak.

“Setiap tahun walaupun sepasang saya akan usahakan untuk membeli pakaian baharu untuk anak-anak kerana mereka bukan sahaja kebahagiaan tetapi juga rezeki kepada kita,” katanya.

Khadijah berkata demikian ketika ditemui pada Program Tautan Kasih Ramadan Anjuran Zakat Melaka 2024, di sebuah gedung tekstil, di Bukit Piatu, di sini, semalam.

Program itu disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu serta Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)
Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Menurut Khadijah, dia amat berterima kasih kepada pembayar zakat dan juga Zakat Melaka yang amat prihatin dalam menjalankan tanggungjawab membantu mereka yang kurang berkemampuan.

“Ini pertama kali anak menerima bantuan dan sudah pasti kami amat menghargainya. Sepasang baju melayu beserta sampin dan songkok besar nilainya buat saya.

“Saya bersyukur walaupun anak-anak masih kecil namun mereka faham keadaan ibunya. Kini bahagian abang sudah selesai cuma adiknya sahaja yang perlu saya uruskan nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

151
Kongsi :
Previous post Penghantar barang ditahan bersama 41.28 kg dadah, 300 botol vape mengandungi ganja
Next post ‘Jangan pernah lelah menuntut ilmu’
Ubah saiz-+=