Tahniah Melaka cipta pencapaian membanggakan – Tun Mohd Ali

Masa Membaca:58 Saat

SERI NEGERI 5 Mac – Pencapaian gemilang Negeri Melaka dalam pelbagai bidang mendapat perhatian Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Tun Dr. Mohd Ali dalam ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas Tahun 2024, di sini, merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan negeri yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian kerana dengan usaha gigih Negeri Melaka pada hari ini terus bergerak maju dan mencipta pelbagai pencapaian yang membanggakan.

“Saya percaya semuanya ini tidak lain dan tidak bukan atas kesungguhan serta hasil inovasi, kreativiti dan kerjasama daripada semua pihak terutamanya barisan kepimpinan, ketua-ketua jabatan dan seluruh rakyat Melaka,” katanya ketika berucap di Dewan Undangan Negeri Melaka, hari ini.

Dalam ucapannya, Tun Dr. Mohd Ali turut menzahirkan harapan agar persidangan kali ini berjalan dengan sempurna.

Beliau turut mengingatkan Ahli-Ahli Dewan agar berbahas secara baik dan menumpu kepada aspek yang utama iaitu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

445
Kongsi :
Previous post Sidang DUN Melaka penggal ketiga buka tirai secara rasmi
Next post Melaka menuju ‘digital citizen’
Ubah saiz-+=