Tak perlu catu, bekalan air Melaka cukup

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 21 Mac – Bekalan air bagi Negeri Melaka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri awal April nanti dijamin mencukupi dan tidak terjejas meskipun negara kini dilanda kemarau dan fenomena El Nino.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat ini bekalan air semua empangan utama di Melaka mampu bertahan hingga Jun.

Hameed berkata, setakat 21 Mac paras air di Empangan Durian Tunggal adala sebanyak 80 peratus; Empangan Jus sebanyak 95.7 peratus dan Empangan Asahan sebanyak 95.5 peratus.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, setakat ini tidak ada keperluan untuk melaksanakan catuan, namun Kerajaan Negeri telah dan sedang melaksanakan pelan kontigensi bagi mengatasi penyusutan paras air di empangan kesan fenomena El-Nino.

“Antara yang sudah dilaksanakan adalah mengepam 47 juta gelen air sehari dari Sungai Grisek, Muar, Johor ke Empangan Durian Tunggal, Kerajaan Negeri telah memohon tambahan sebanyak 12 juta gelen dengan kebenaran Kerajaan Negeri Johor.

“Pengepaman 15 juta liter sehari dari Tasek Ayer Keroh ke Sungai Melaka melalui Sungai Anak Ayer Padang Keladi; Pengepaman air lima juta liter sehari dari Kolam Kesang 1 ke Sungai Melaka.

“Melepaskan air dari Empangan Jus melalui ‘draw off tower’ bagi meningkatkan paras air Sungai Batang Melaka untuk pembekalan Loji Air Gadek; Melepaskan air dari Empangan Durian Tunggal ke Loji Air Bertam dan Loji Air Bukit Sebukor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak di Tasek Ayer Keroh, disertai Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil; Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri, Azizul Adzran dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Ir. Norhisham Abu Talib.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post Selamatkan makanan tidak habis dijual
Next post Operasi Pembenihan Awan, pelan kontigensi hadapi kemarau
Ubah saiz-+=