Tanah runtuh: Tapak perkhemahan beroperasi tanpa lesen – Nga

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BATANG KALI, 16 Dis – Tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm yang menjadi lokasi tragedi tanah runtuh, yang setakat ini telah meragut 16 nyawa disahkan beroperasi tanpa lesen.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika mengesahkan perkara itu berkata tapak perkhemahan tersebut diusahakan tanpa memperoleh lesen kebenaran beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.

“Mengikut laporan yang saya terima, tapak perkhemahan ini sebenarnya diusahakan tanpa lesen. Ia tidak memperoleh lesen kebenaran untuk beroperasi sebagai tapak perkhemahan. Tidak ada lesen diberikan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor.

“Ini adalah satu kesalahan di bawah Akta 133 iaitu Akta Parit dan Bangunan. Sekiranya sabit kesalahan dia (pengusaha) boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tersebut hari ini.

Setakat 1 tengah hari tadi, angka kematian akibat kejadian itu yang berlaku awal pagi ini kini berjumlah 16 orang dengan 17 lagi masih hilang. Maklumat awal polis menyatakan terdapat 100 orang berada di tapak perkhemahan yang berkemungkinan menjadi mangsa dalam tragedi tersebut.

Dalam pada itu, Nga berkata semua kawasan tapak perkhemahan berisiko tinggi di seluruh negara telah diarahkan ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata semua pihak berkuasa tempatan telah dimaklumkan dengan arahan tersebut dan langkah itu diambil bagi mengelak kejadian yang sama berulang terutamanya ketika negara bakal mengharungi musim angin Monsun Timur Laut yang dijangka bermula esok.

“Semua tapak perkhemahan di tepi sungai, air terjun dan lereng bukit yang mungkin berbahaya akan dikosongkan segera selama tujuh hari. Keadaan ini akan berlangsung sehingga arahan baharu dikeluarkan kerajaan kelak.

“Kita akan terus memantau situasi di tempat kejadian dan juga keadaan cuaca. Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapatkan ramalan cuaca dengan lebih tepat,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali yang ditemui di lokasi kejadian memaklumkan setakat tengah hari tadi seramai 628 anggota penyelamat daripada 16 agensi terlibat dalam operasi SAR yang dijalankan.

Beliau berkata fokus utama operasi SAR adalah bagi mengeluarkan dan menyelamat 17 lagi mangsa yang disyaki tertimbus manakala anggota kesihatan pula menumpukan kepada operasi membantu mereka tercedera.

“Kita juga akan memastikan kebajikan mangsa yang terkorban dengan menyediakan bantuan sepatutnya yang akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1814
Kongsi :
Previous post Sistem perkhidmatan KWSP pulih sepenuhnya, data ahli tidak terjejas
Next post Tanah runtuh: Angka korban meningkat 21 orang
Ubah saiz-+=