Sorting by

×

Tarikan Pulau Besar dirancakkan menjelang TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PULAU BESAR 11 Mac – Kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur dan pemerkasaan pelbagai tarikan di Pulau Besar menjadi antara tumpuan utama bagi menarik kehadiran pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau Pulau Negeri Melaka (MPPM), Azhar Yaacob berkata, tumpuan itu adalah antara fokus pihaknya bagi mempersiapkan diri menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kurang sembilan bulan sahaja lagi.

Jelasnya, pelbagai program termasuk acara berskala besar bakal dianjurkan membabitkan pelbagai agensi terlibat demi menarik pelancong bertandang ke pulau peranginan itu.

“Kita merancang akan menganjurkan lebih banyak program berskala besar membabitkan penyertaan warga emas, pelajar universiti dan orang awam bagi memastikan Pualau Besar dijadikan sebagai pusat pelancongan baharu di Melaka.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengunjung dapat dijamin.

“Malah, MPPM sedia bekerjasama dengan mana mana persatuan, agensi, universiti serta pelbagai pihak untuk menganjurkan sebarang aktiviti terutama riadah dan rekreasi yang boleh dilaksanakan di pulau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Pulau Besar Fun Run 2023 di sini hari ini.

Program dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi (REDTMA) itu disertai seramai 120 peserta membabitkan lingkungan usia 5 hingga 60 tahun dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Azhar berkata, usaha membangunkan lebih banyak kemudahan infrastruktur di kawasan itu turut menjadi fokus utama MPPM bagi memberi keselesaan kepada pelancong.

Katanya, cadangan memanjangkan laluan pejalan kaki hampir 1 kilometer akan dilaksanakan bagi memudahkan akses perjalanan pelancong ke beberapa lokasi persinggahan utama di pulau itu.

“Selain itu, kita juga sedang membina dek terapung di tepi pantai ini untuk dijadikan lokasi tarikan pelancong untuk bergambar di pulau ini.

“Setakat ini pembinaan itu sedang giat dijalankan dan ini akan menjadi tambahan kepada tarikan utama pelancongan di Pulau Besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1679
Kongsi :
Previous post Koperasi bantu petani berkembang
Next post Warga emas, anak sahut cabaran teroka Pulau Besar
Ubah saiz-+=