Koperasi bantu petani berkembang

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LINGGI 11 Mac – Koperasi kini menjadi antara medium yang aktif membantu perusahaan pertanian untuk berkembang, sekali gus menangani isu keterjaminan makanan peringkat negeri dan nasional.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bagi Negeri Melaka inisiatif itu terbukti sudah membuahkan hasil termasuk yang terbaharu iaitu penubuhan Koperasi Usahawan Tani Alor Gajah Melaka Berhad (KUAGB).

Sulaiman berkata apa yang membanggakan KUAGB bukan sahaja berperanan menghasilkan bahan makanan sebaliknya berfungsi sebagai pusat pengumpulan hasil ladang yang pertama di Negeri Melaka.

“Pada Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka baru-baru ini, saya ada menyebut berkenaan peranan koperasi dalam membantu meningkatkan sosio ekonomi masyarakat melalui industri pertanian dan makanan di Negeri Melaka.

“Maka, saya lihat, pada hari ini KUAGB melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia bersama Jabatan Pertanian Negeri Melaka telah berjaya merealisasikan inisiatif ini melalui pusat pengumpulan hasil yang akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat petani serta rakyat di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyerahan Tapak Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Kuala Sungai Baru, Koperasi Usahawantani Alor Gajah Melaka Berhad, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak bin Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Mohd Firdaus Shaari dan Pengerusi KUAGB Ahmad Fairus Mohamad.

Menurutnya sektor pertanian Negeri Melaka mempunyai potensi untuk dikembangkan apabila mencatat petumbuhan positif 3.7 peratus dan menyumbang 11.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Melaka pada tahun 2021.

Jelasnya Hala Tuju Pembangunan Negeri Melaka 2035 telah menggariskan empat strategi merangkumi 22 program atau projek yang melibatkan 60 Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Katanya empat strategi tersebut adalah mengoptimumkan pengeluaran sektor agromakanan, meningkatkan sektor industri asas tani, memperkasa pemasaran sektor agromakanan dan kesejahteraan komuniti pertanian di Negeri Melaka.

“PPHL di bawah Jabatan Pertanian melalui koperasi ini adalah pemangkin kepada empat strategi tersebut. Saya percaya PPHL ini mampu menjadi perintis dalam memperkasakan sektor pertanian di Negeri Melaka pada tahun akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1967
Kongsi :
Previous post Keterjaminan makanan Melaka satu keutamaan – KM
Next post Tarikan Pulau Besar dirancakkan menjelang TMM2024
Ubah saiz-+=