Terus balik kampung selepas berbulan ‘terkurung’

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PERINGGIT 12 Okt – “Bila dapat tahu selepas pengumuman itu (boleh rentas negeri) saya tak lepaskan peluang dan terus tempah tiket bas sebab memang teruja apabila dengar kita boleh balik kampung,” kata Khairunnisa Jamil, 25.

Kakitangan Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru itu berkata, dia amat gembira dan bersyukur selepas berbulan tidak pulang ke kampung di Lubok Redan, Masjid Tanah akibat sekatan pergerakan disebabkan pandemik COVID-19.

Katanya, dia terus menempah tiket secara dalam talian di tempat kerjanya selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu.

Khairunnisa

“Rasa syukur dan terharu jugalah sebab memang dah lama tak balik kampung untuk jumpa mak dan ayah. Rasa rindu sangat.

“Bila ada peluang dapat cuti tiga hari saya tak nak terlepas sebab bekerja sebagai barisan hadapan memang tidak tahu bila akan bercuti lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, perjalanan tiga jam dari Johor Bahru kali ini dilihat begitu lancar dan berpuas hati dengan perkhidmatan bas ekspres yang ditawarkan.

“Alhamdulillah, tempoh perjalanan yang diambil tepat pada waktunya sejurus sampai di Melaka dan trafik begitu lancar mungkin sekarang hari bekerja,” katanya.

Tinjauan MHI di Melaka Sentral mendapati terminal bas awam negeri itu terkawal berikutan hari bekerja.

Namun begitu, jumlah pengunjung yang membeli tiket menggunakan perhidmatan kiosk layan diri dan di kaunter meningkat berbanding sebelum ini.

Muhd Danial

Sementara itu, Muhd Danial Haikal Mohd Zairi, 24, turut membuat tempahan tiket bas pada Ahad lalu untuk pulang ke Batu Pahat menemui neneknya selepas hampir setahun tidak bertemu.

Menurutnya yang menetap di Pokok Mangga berkata, biarpun esok dijadualkan bekerja dia nekad untuk meneruskan perjalanan biarpun sebelum pulang semula ke Melaka lewat petang ini.

“Alhamdulillah bila dapat tahu boleh rentas negeri saya terus tempah tiket di atas talian kerana rindukan nenek di kampung.

“Memang ada banyak kali menelefonnya namun perasaan rindu untuk berjumpa memang lain rasanya biar pun esok kena masuk kerja.

“Apa pun sebagai rakyat Malaysia yang sudah diberikan peluang ini kita kena peka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

764
Kongsi :
Previous post Jambu lohan diangkat sebagai ikon baharu Melaka – Ghazale
Next post Melaka Sentral terima tempahan tiket dua kali ganda
Ubah saiz-+=