Tiada lagi kompromi, tindakan kompaun ke atas pengotor

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BEMBAN 23 Jun – Tiada lagi kompromi!. Sebaliknya kompaun akan terus dikenakan terhadap penduduk yang enggan membersihkan kawasan persekitaran rumah sehingga mengundang wabak denggi.

Itu amaran diberikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman terhadap penduduk di negeri berikutan ada sebilangan penduduk yang tidak melaksanakan kebersihan di rumah masing-masing sehingga berlaku peningkatan kes denggi.

Beliau menggesa ketua komuniti dan penduduk di kawasan perumahan supaya bersama-sama menjalankan pemeriksaan terhadap pembiakan nyamuk aedes di kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Selepas ini minta maaf kita tidak lagi berkompromi, (sebaliknya) terus sahaja mengenakan kompaun.

“Nasihat telah pun diberi tetapi pelaksanaan (kebersihan) tidak dilaksanakan, maka saya beri tempoh sehingga jam 5 petang (semalam).

“Saya juga menyarankan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) supaya melaksanakan KPI (indeks prestasi utama) kepada kontraktor pembersihan iaitu mana-mana taman di bawah seliaan masing-masing yang tidak dibersihkan dengan cara sepatutnya, kita cadangkan dikenakan pemotongan bayaran sebagai peringatan.

“Semoga perkara ini bukan sahaja diperluaskan di daerah Jasin malah di seluruh negeri Melaka,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja dan majlis ‘soft launch’ sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri di Taman Maju, di sini semalam.

Beliau berkata, sebanyak 1,400 tempat pembiakan nyamuk turut ditemui di kawasan taman itu termasuk di premis perniagaan sepanjang operasi yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Jasin bersama bantuan anggota polis dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 37 kompaun dikenakan kepada penduduk kediaman di kawasan Taman Maju.

Rahmad berkata, dalam tempoh Januari hingga 20 Jun lalu, sebanyak 1,170 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini, iaitu peningkatan sebanyak 17.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sebanyak lima kematian direkodkan, yang mana satu daripada kes itu didaftarkan di Taman Maju pada bulan ini.

“Daerah Melaka Tengah mencatatkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 768 kes, diikuti daerah Jasin 216 kes manakala daerah Alor Gajah merekodkan sebanyak 186 kes,” katanya.

Views:

258
Kongsi :
Previous post Jangan alpa kelonggaran diberikan kerajaan
Next post Saudi Arabia to limit hajj to pilgrims living in Kingdom
Ubah saiz-+=