Tiada masalah berlaku di Melaka – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MELAKA 22 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada pergolakan luar biasa berlaku dalam kemelut politik Melaka.

Memetik laporan Malaysiakini, Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan sekumpulan ketua bahagian UMNO Melaka, termasuk Pengerusi Perhubungan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Malah, beliau turut ketawa apabila diajukan wartawan mengenai cadangan untuk mengenepikan Ab Rauf sebagai Pengerusi Perhubungan Melaka.

“Tak ada masalah apa-apa.

‘Biasalah, laki-bini (suami isteri) pun bergaduh,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan berlaku kemelut dalam politik Melaka apabila timbul dakwaan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dipaksa letak jawatan.

Namun, perkara itu telah dinafikan Sulaiman dalam satu kenyataan media pada 12 Mei.

Sulaiman menyifatkan dakwaan seumpama itu berniat jahat untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri ketika barisan pemimpin pentadbiran negeri sedang gigih melaksanakan pelbagai program pembangunan dan memenuhi janji yang telah dilafazkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Nov lalu.

“Saya menafikan dakwaan saya telah meletakkan jawatan dan saya juga menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan.

“Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri yang saya terajui selepas PRN Melaka November lalu dan isu sebegini tidak sepatutnya timbul terutamanya ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang telah hilang semasa PRU14 lalu,” katanya.

Hal sama turut dinafikan Ab Rauf sebelum berangkat ke lawatan kerja bersama Sulaiman di Bosnia dan Hezergovina, baru-baru ini.

“Selaku pengerusi perhubungan tidak ada dalam pengetahuan saya, secara langsung atau tidak langsung, Ketua Menteri dipaksa menandatangani mana-mana dokumen untuk meletakkan jawatan.

“Antara saya dan ketua menteri tidak ada masalah. Masalahnya tidak ada masalah. Jangan melibatkan saya sebahagian daripada untuk mengesahkan perkara yang tidak benar,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

829
Kongsi :
Previous post Pemasuhan AP dapat hapus aktiviti kartel – Pakar ekonomi
Next post Lelaki ditahan miliki air ketum, dadah
Ubah saiz-+=