Tiada tanda harga: Kedai perabot beri alasan tak masuk akal

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 21 Februari – Pelbagai alasan tidak masuk akal diberikan beberapa pekerja kedai perabot apabila premis perniagaan mereka dikesan tidak mempamerkan tanda harga ketika diserbu pasukan penguatkuasa, hari ini.

Selain mengatakan perabot yang dipamerkan baru tiba, mereka turut memberi alasan tanda harga yang ditampal pada set sofa yang dijual ditanggalkan oleh anak pelanggan.

Malah lebih tidak masuk akal, seorang pekerja warga Pakistan yang bekerja di premis perabot di situ juga turut memberitahu harga dipamerkan kedainya menggunakan bahasa jawi selepas dipersoalkan angka ditulis pada tanda harga tidak jelas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka Norena Jaafar berkata, pemeriksaan mengejut itu dilakukan pihaknya selepas mendapati ada di antara premis perabot di kawasan itu tidak mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

Jelasnya, pada pemeriksaan itu sebanyak 20 premis jualan perabot dan langsir diperiksa pasukan penguatkuasa KPDN.

“Sewaktu pemeriksaan itu kita mengesan kebanyakan premis jualan perabot ini tidak mempamerkan harga pada barangan jualan mereka.

“Susulan itu pelbagai alasan tidak masuk akal cuba digunakan oleh pekerja premis terbabit bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Kita percaya tindakan tidak meletak harga itu dibuat oleh premis terbabit kerana mereka dipercayai cuba mengambil kesempatan terhadap pengguna menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai pemeriksaan mengejut ke atas premis jualan perabot di sekitar Ayer Keroh, hari ini.

Norena berkata, pada pemeriksaan tersebut, sebanyak tujuh premis dikenakan tindakan kompaun serta-merta apabila dikesan tidak meletakkan tanda harga selain gagal memberikan sebab munasabah.

“Tindakan kompaun berjumlah RM5,000 dikenakan ke atas premis itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Justeru itu, saya mengingatkan dan memberi amaran kepada semua peniaga agar sentiasa peka serta memastikan setiap barangan dijual diletakkan tanda harga.

“Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya salah faham atau ada tindakan cuba mengambil kesempatan terhadap pengguna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

676
Kongsi :
Previous post Anugerah Seri Melaka 2024 pertanding empat kategori
Next post Menara Taming Sari beri layanan istimewa
Ubah saiz-+=