Tiang lampu pemancar 5G

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TABOH NANING 17 Mac – Tiang lampu jalan di beberapa lokasi sekitar negeri ini akan akan dipasang dengan peralatan telekomunikasi dalam usaha memberikan perkhidmatan 5G lebih meluas kepada pengguna di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings (MITCH), Dr. Nazdiana Ab Wahab berkata, langkah itu antara usaha menaik taraf capaian telekomunikasi di Negeri Melaka, sekali gus mengatasi isu ‘drop call’ dan masalah titik buta (blind spot) di sesetengah lokasi.

“MITCH ke arah menggunakan perabot jalanan (street furniture) iaitu tiang lampu jalan sebagai ‘smart pole’. Tiang lampu setinggi 18 meter akan dipasang peralatan telekomunikasi, kamera litar tertutup (CCTV) dan kemudahan jaringan tanpa wayar (WiFi).

“Tiang lampu ini akan meningkatkan capaian telekomunikasi sekitar 300 hingga 400 meter radius, cukup untuk mengatasi masalah blind spot atau drop call,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan Menara Telekomunikasi Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Kepada Pihak Maxis Broadband Sdn. Bhd. dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin di Kampung Solok Uban, Brisu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah MCMC Melaka, Luqman Ali serta tetamu lain.

Menurutnya perancangan itu kini berada diperingkat akhir untuk dimuktamadkan bagi memastikan tatacara dan panduan yang bersesuaian diputuskan oleh semua agensi terlibat.

Jelasnya, perkara itu juga membabitkan keputusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi teknikal lain.

“Setakat ini dua lokasi bagi smart pole telah dibangunkan di Melaka sebagai projek rintis iaitu di Peringgit dan Klebang mencapai perkembangan positif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1975
Kongsi :
Previous post Dah tak perlu tunggu lama nak hantar WhatsApp
Next post 200 warga Gadek terima bantuan Ramadan
Ubah saiz-+=