Tiga inisiatif bantu belia Melaka miliki rumah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 6 Nov. – Kerajaan Negeri menyediakan tiga inisiatif terbaharu bagi membantu belia Melaka memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, antara inisiatif yang dilakukan ialah merancang pembinaan rumah transit belia, Projek Perumahan Belia dan Program Perumahan Belia.

Jelasnya, untuk merealisasikan inisiatif tersebut satu jawatankuasa baharu telah diwujudkan iaitu Jawatankuasa Perumahan Belia Negeri Melaka yang akan dipengerusikannya sendiri.

“Program rumah transit belia kita sasarkan agar seawal tahun depan kita sudah memulakannya. Program rumah transit ini antara lain ialah berbentuk rumah sewa dengan harga yang murah untuk membantu golongan belia,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Post-Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka.

Mohd Rafiq berkata, bagi projek perumahan belia, ia merupakan sebuah projek perumahan khas didirikan untuk golongan belia sepenuhnya di negeri ini.

Buat masa ini, jelasnya, projek perumahan fasa pertama perumahan belia sudah dimulakan prosesnya yang akan dibangunkan di kawasan Tanjung Minyak.

“Kita yakin selepas ini akan ada lebih banyak projek perumahan belia dibangunkan di kawasan-kawasan lain di negeri ini.

“Apa yang pasti, bagi projek perumahan belia, kita merancang untuk mewujudkan satu konsep rekanan terbaharu yang lebih baik, moden dan paling penting ialah harganya berpatutan berbanding rekaan sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program perumahan belia, Mohd Rafiq memaklumkan, pihaknya akan mengenal pasti projek perumahan tertentu yang sedia mewujudkan kuota khas untuk belia di negeri ini.

Ujarnya, kuota khas yang disediakan itu sudah pasti akan menjanjikan harga rumah yang jauh lebih murah berbanding harga asal rumah tersebut.

Views:

414
Kongsi :
Previous post Pejabat MHI disanitasi
Next post Sembilan rumah dilanda banjir lumpur akibat tembok runtuh
Ubah saiz-+=