Tiga usahawan muda wakili Malaysia ke JCI antarabangsa

Masa Membaca:4 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR – Seramai 30 usahawan muda diraikan pada malam Anugerah Usahawan Muda Creatif (CYEA) 2022 anjuran Junior Chamber International (JCI) Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Penganjur JCI CYEA 2022, Gregory Ng berkata, bermula Mac lalu seramai 70 usahawan muda seluruh negara dikenal pasti untuk dicalonkan bagi merebut anugerah itu.

Katanya, pemilihan dilakukan dengan teliti dan dianggap sengit menerusi tiga peringkat anugerah iaitu Top 30, Top 10 dan Top 3.

Menurutnya, program anugerah memasuki edisi ke-16 selepas dimulakan pada 2007 itu bertujuan untuk memartabatkan usahawan muda yang kreatif dalam perusahaan dan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kita mahu mengangkat martabat usahawan muda bawah usia 40 tahun yang mana mereka ini menjalankan perniagaan menggunakan kreativiti dan inovasi.

“Penganjuran kali ini melibatkan lebih 700 usahawan seluruh negara yang mahu mengetengahkan nama syarikat mereka demi kemampanan perusahaan yang dijalankan berteraskan konsep kreativiti dan inovasi.

“Kali ini kita mengumumkan senarai Top 3 usahawan muda kreatif negara dibawah JCI Malaysia. Nama yang diumumkan ini akan bersaing dengan 100 usahawan negara lain di peringkat JCI Antrabangsa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Usahawan Bandaraya Melaka (MCE) JCI 2022, Valarie Ngoh berkata, penganjuran kali kedua di bumi Hang Tuah ini secara tidak langsung menggambarkan Negeri Melaka sebagai hab pertemuan antara usahawan seluruh negara.

IMG-20221009-WA0003
AHLI Dewan Negara Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (empat dari kiri) diiringi Pengerusi Penganjur Anugerah Usahawan Muda Kreatif, Gregory Ng (lima dari kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Usahawan Muda Kreatif ketiga tertinggi, Ker Chin Keong dari syarikat E Health Sdn. Bhd. (tiga dari kanan), Tan Ting Jin dari syarikat Reskills AdTech Sdn. Bhd. (kiri) dan Lim Pei Ni dari syarikat Homa Sdn. Bhd. (dua dari kanan) pada program Makan Malam Anugerah Usahawan Muda Kreatif 2022. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata, penganjuran itu juga menjadi medan penghubung antara penggiat ekonomi tempatan, sekali gus melebar luas lagi jaringan perniagaan yang amat penting selepas terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Ini akan membuka satu peluang baharu terutama kepada usahawan muda untuk menjadi lebih kreafif dalam menguruskan sebuah perusahaan mampan dan terus maju ke hadapan menuju ke peringkat global.

“Penganjuran tahun ini begitu sengit kerana kita telah menghimpunkan ramai usahawan kreatif daripada pelbagai sektor seperti kesihatan, perubatan, e-dagang, makanan dan minuman serta pelbagai lagi.

“Elemen kreativiti dalam perniagaan sangat luas, kesemua usahawan muda ini dinilai daripada pelbagai sudut kreativiti perniagaan diamalkan. Antaranya cara mereka mengekalkan perniagaan mampan, pemasaran, pengurusan dalam pekerjaan dan pelbagai lagi selain termasuk menggunakan inovasi untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Terdahulu dalam program diadakan di Hotel Hatten, pada 1 Oktober lalu, nama tiga usahawan akan mewakili Malaysia ke JCI Antrabangsa diumumkan oleh Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang jemputan kehormat majlis itu.

 

Berikut adalah pemenang TOP 3 JCI CYEA 2022:

IMG-20221009-WA0004
PENERIMA Anugerah Usahawan Muda Kreatif ketiga tertinggi (dari kiri), Tan Ting Jin, Lim Pei Ni dan Ker Chin Keong pada program Makan Malam Anugerah Usahawan Muda Kreatif 2022 di Hotel Hatten, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

 

1. ReSkills EdTech Sdn Bhd

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Ting Jin, 38, meluahkan rasa syukur selepas syarikat yang memulakan operasi sejak dua tahun lalu itu terpilih mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Katanya, syarikat perkhidmatan pendidikan itu menjadikan pasca COVID-19 sebagai teras perniagaan, iaitu kehidupan norma baharu masyarakat berteraskan sistem dalam talian.

Syarikat itu menggunakan tema ‘One Dollar Education’ menjalankan platform dalam talian untuk dijadikan medan pelajaran tanpa batasan di seluruh dunia kini dan mempunyai lebih 600,000 pelajar dari 65 negara dengan 400 tenaga pengajar berasal dari 17 negara.

“Pengguna dikenakan caj USD1 setiap bulan bagi menggunakan platform kali, mereka boleh memuat turun aplikasi menerusi google play atau apple store.

“Kami beriltizam tinggi untuk menjadikan syarikat miliki anak jati Malaysia ini yang bertapak di Empire City, Damansara, Selangor menuju ke arah global dan mahu membuktikan syarikat tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

2. Homa Sdn Bhd

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Pei Ni, 38, berkata, selepas tiga kali menyertai anugerah itu akhirnya syarikat diusahakan dinobatkan sebagai antara Top 3.

Menurutnya, syarikat bertapak di Klang, Selangor itu membabitkan industri perumahan yang mempunyai misi bagi mengurangkan kesan penggunaan karbon dalam sekor pembinaan.

“Syarikat ini menyediakan perkhidmatan perumahan dan produk pembinaan membawa impak positif kepada ekosistem persekitaran.

“Kita menggunakan dua platform bagi memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan kami iaitu secara bersemuka atau dalam talian,” katanya.

 

3. E Health Sdn Bhd

Ketua Pegawai Ekskutifnya, Ker Chin Keong, berazam meneruskan cita-citanya untuk meletakkan syarikat yang menjalankan perusahaan berteraskan produk kesihatan itu mampu bersaing di peringkat global.

Beliau berkata, kreativiti adalah elemen paling penting dalam perniagaan pada masa kini, berikutan banyak syarikat yang ‘jatuh’ akibat terkesan pandemik COVID-19.

Katanya, syarikat beroperasi selama empat tahun bertapak di Setia Alam, Selangor itu kini memfokuskan kepada kreativiti dalam mencipta produk berkaitan teknologi menggunakan bahan berpaten, selain mencipta perkhidmatan kreatif kepada pelanggan utama untuk bersama-sama meningkatkan tahap perniagaan.

“Kaedah ini membuka peluang kepada pemerkasaan perniagaan selain mampu meningkatkan produktiviti yang menjamin masa depan ekonomi negara yang lebih mampan.

“Kita juga mensasarkan syarikat yang ditubuhkan ini mampu mencapai keuntungan RM10 juta dalam tempoh lima tahun. Misi kita adalah membantu masyarakat yang berdepan dengan masalah kos perubatan dan kesihatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2588
Kongsi :
Previous post Melaka rai bayi Qurratu A’yun, peringati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW
Next post Polis sudah jumpa suami isteri didakwa hisap gam dalam kereta
Ubah saiz-+=