Polis sudah jumpa suami isteri didakwa hisap gam dalam kereta

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Polis membuka kertas siasatan ke atas pasangan suami isteri yang didakwa menghisap gam ketika memandu kereta jenis Proton Saga, baru-baru ini.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Lebuh Ayer Keroh menghala ke Bandar Melaka pada tarikh dan masa yang tidak dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, susulan penularan video tersebut Bahagian Siasatan Trafik Daerah Melaka Tengah telah menjalankan risikan sebelum menemui dan memeriksa pemilik kenderaan di Kampung Bukit Pernu.

Menurutnya, pemandu lelaki berusia 33 tahun bersama penumpang iaitu wanita 23 tahun dan kanak-kanak perempuan empat tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik Melaka Tengah bagi melakukan soal siasat.

Katanya, hasil soal siasat mendapati kedua-dua mereka merupakan pasangan baru berkahwin, manakala kanak-kanak tersebut merupakan anak tiri pemandu.

“Selepas disiasat, pemandu mengaku telah melakukan perbuatan menghisap gam, manakala penumpang wanita di hadapan tidak mengakui kesalahan tersebut.

“Hasil saringan air kencing pemandu dan penumpang bagaimanapun didapati negatif dadah.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Peraturan 17 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 kerana kesalahan kedudukan semasa memandu tidak membolehkan kenderaan dikawal dengan sempurna dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Christopher menyeru kepada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, ia penting dalam membantu usaha membanteras kejadian jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman dipelihara.

Pada 7 Oktober lalu, tular rakaman video berdurasi 17 saat yang dimuat naik pelayar laman sosial mendakwa pasangan suami isteri menghisap gam ketika memandu sebuah kereta.

Rakaman itu menunjukkan lelaki berkenaan memandu sambil memegang plastik lutsinar ketika melalui hadapan sebuah kilang di Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6034
Kongsi :
Previous post Tiga usahawan muda wakili Malaysia ke JCI antarabangsa
Next post Subsidi ayam, telur diteruskan hingga Disember 2022
Ubah saiz-+=