Tindakan lebih komprehensif tangani banjir di Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 1 Februari – Kelulusan pelan pembangunan membabitkan saliran dan perparitan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan diperhalusi serta ditambah baik bagi mengatasi masalah banjir dihadapi penduduk tempatan.

Yang Dipertuanya, TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata fokus utamanya pada tahun ini adalah memastikan Alor Gajah menjadi bandar berdaya huni selain menitik beratkan isu tempatan sebagaimana antara perkara ditekankan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Katanya, bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan pentadbirannya, beliau akan melihat kepada kelulusan pelan terutamanya membabitikan pelan kerja tanah dan sistem perparitan.

“MPAG menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS); Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi memastikan konteks saliran di seluruh daerah (Alor Gajah) lebih baik.

“Ini kerana infrastuktur asas adalah salah satu isu bandar bukan sahaja di Melaka malah seluruh negara, jadi perkara tersebut perlukan kerjasama erat dan tindakan yang lebih komprehensif.

“Kita perlu merancang bagaimana kita hendak melaksanakannya secara berfasa dan memastikan kawasan ‘hotspot’ seperti Durian Tunggal dan Gadek terutama kawasan perumahan dan kampung diperincikan serta dititik beratkan,” katanya.

photo_2023-02-01_13-13-40
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Saifuddin Abdul Karim. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memperbahrui lafaz sumpah sebagai Yang Dipertua MPAG di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, selain itu beliau mahu memastikan pengurusan aduan awam ditambah baik sekali gus memberi respon terbaik dalam menyelesaikan masalah penduduk tempatan.

“Pengurusan aduan awam perlu lebih baik dari segi reponsif dan kita akan lihat dari segi perkara (tempatan) yang menjejaskan terutama di daerah Alor Gajah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1486
Kongsi :
Previous post Gilap potensi ekopelancongan Jasin
Next post RTM siar secara langsung 75 aksi Liga-M 2023
Ubah saiz-+=