Tindakan mahkamah jika gagal carum Perkeso

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER LIMAU 21 September – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mengambil tindakan mahkamah terhadap majikan dikesan gagal membuat caruman untuk pekerja mereka.

Pengarah Perkeso Negeri Melaka, Abdul Razak Omar berkata, perkara itu tertakluk dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800).

Katanya, satu per empat daripada kira-kira 3,500 pekerja domestik didaftarkan dibawah skim itu namun majikan dikesan gagal membuat caruman seperti ditetapkan.

“Mereka sudah daftar tapi selepas itu hilang begitu sahaja, tidak mencarum dengan Perkeso. Majikan menggaji pekerja domestik seperti pembantu rumah, pengawal keselamatan, tukang masak, tukang kebun dan pemandu peribadi mencarum segera.

“Perkeso menubuhkan ‘task force’ untuk kesan majikan berkenaan, kalau belum daftar pekerja juga perlu selesaikan segera. Caruman ini terpakai kepada semua pekerja domestik dan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melaksanakan penyerahan cek perlindungan Perkeso kepada keluarga penghantar makanan yang maut dalam kemalangan pada 3 September lalu di Felcra Ramuan China, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Abdul Razak berkata, semua pihak termasuk mereka bekerja sendiri perlu peka dan ambil tahu mengenai jenis perlindungan dan faedah mencarum.

Menurutnya, bagi mereka bekerja sendiri boleh mendaftar dan mencarum dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Boleh daftar secara dalam talian atau datang terus ke pejabat Perkeso bagi memastikan mereka dilindungi.

“Kerajaan hari ini telah memberi potongan sebanyak 80 peratus kepada mereka dan hanya perlu membayar RM46 setahun untuk melindungi diri mereka. Faedah ini terpakai untuk semua jenis pekerjaan secara sendiri termasuklah penghantar makanan dan penjaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1529
Kongsi :
Previous post Berguru dengan Hidilyn Diaz, Nurul Syasya kini kebanggaan Melaka
Next post KPDNHEP, platform e-dagang bekerjasama bendung penjualan minyak masak dalam talian
Ubah saiz-+=