Tindakan tegas buat mereka ‘sengaja’ terbalikkan bendera

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 29 Ogos – Tindakan tegas akan diambil buat pemilik premis yang sengaja mempamerkan bendera dalam keadaan terbalik tanpa sebarang alasan munasabah yang mencetus sensitiviti rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menegaskan perkara berkenaan perlu dipandang serius kerana ia mampu mencetus provokasi dan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia amnya.

Ujarnya, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menggerakkan tindakan benar-benar tegas ke atas pemilik premis yang sengaja melakukan provokasi itu.

“Mana mungkin kita perkara ini berlaku kerana sejak kita kenali dunia dididik di alam sekolah pun telah mempelajari di mana atas, di mana bawah, di mana kiri dan kanan bendera itu sendiri.

“Saya arahkan pihak keselamatan mengambil tindakan tegas ke atas mereka ini dan perlu diberi pengajaran sekerasnya kerana bagi saya perkara ini hanya semata menimbulkan provokasi dan kemarahan orang ramai.

“Setiap premis mahupun bangunan ada pemiliknya dan mustahil orang luar boleh sengaja memasuki kawasan mereka untuk memasang bendera dengan terbalik dan pemiliknya perlu peka perkara ini sama ada ia di pasang dengan betul mahupun tidak.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dan ia bukan sahaja pada bulan kemerdekaan malah pada setiap masa bagi menjaga integriti Jalur Gemilang dan bendera negeri,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kembara Aspirasi Merdeka Melakafm @komuniti di Dataran Memorial Perisyhtiharan Kemerdekaan di sini petang tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Program yang berlangsung sejak awal pagi tadi telah melaksanakan konvoi motor berkuasa tinggi di seluruh negeri yang bermula dari Tanjung Bidara kemudiannya beberapa lokasi dan berakhir di Banda Hilir.

Views:

730
Kongsi :
Previous post ‘One Stop Center’ untuk IKS
Next post Bot nelayan kibar Jalur Gemilang, bentuk formasi 63 di laut Melaka
Ubah saiz-+=