Tingkat daya saing pelajar dalam bidang sains, teknologi 

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat
TELOK MAS 19 Julai – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka mahu semua guru memainkan peranan lebih aktif untuk meningkatkan lagi daya saing pelajar dalam bidang sains dan teknologi.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Ghazali Ahmad berkata, penganjuran Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di setiap sekolah antara langkah yang boleh dijalankan pihak guru untuk menjayakan usaha itu.
Mohd Ghazali berkata, pihaknya mahu melahirkan anak-anak memiliki ilmu pengetahuan aras tinggi, berfikiran kreatif dan kritis.
“Jadi dengan adanya karnival STEM ini kita dapat lihat anak-anak berbicara tentang sains dan teknologi. Penguasaan bahasa ketiga seperti Mandarin dan Arab juga penting dalam membantu anak-anak kita menguasai teknologi.
“Kita harap semua sekolah di Negeri Melaka menyambut baik dan melaksanakan aktiviti melibatkan teknologi serta sains untuk masa depan negara,” katanya.
WhatsApp Image 2023-07-18 at 4.51.05 PM
MOHD Ghazali semasa menyampaikan hadiah kepada pemenang yang menyertai karnival itu.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Karnival STEM dan Hari Keusahawanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu serta Pelancaran Havoc STEM Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah Tahun 2023 di SMK Padang Temu, di sini, semalam.
Hadir sama Pengetua SMK Padang Temu, Ruszalinah Mohd Kassim.
Katanya, penganjuran STEM juga perlu membabitkan ibu bapa agar anak-anak lebih meminati bidang sains dan teknologi.
“Sudah sampai masa kita merakyatkan STEM, bukan hanya melibatkan pelajar di sekolah, sebaliknya ibu bapa dan komuniti setempat.
“Tidak terkecuali Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di negeri ini juga perlu membantu pihak sekolah untuk memperluaskan lagi teknologi ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1251
Kongsi :
Previous post Pelawa Google meriahkan SMIX 2023
Next post Delegasi Karate Senior Asia Ke-19 makan malam bersama TYT
Ubah saiz-+=