TMM2024: Melaka perkenal 9 produk pelancongan baharu
SERI NEGERI 27 November – Sebanyak sembilan produk pelancongan baharu bakal menjadi fokus utama dalam menarik kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tarikan baharu itu diperkenalkan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk menjadikan Melaka destinasi pilihan percutian mereka.
Jelas beliau, antara produk baharu pelancongan ialah aktiviti riadah sukan air yang diperkenalkan di Sungai Melaka Fasa 2 membabitkan sukan perahu naga dan kanu.
Selain itu, sebuah pasar terapung (floating market) juga akan dibuka di Jeti Pengkalan Rama sempena TMM2024.
“Produk baharu yang ketiga ialah Cruise Sungai Linggi dan Restoran Terapung Sungai Linggi yang merupakan antara tarikan dalam subsektor ekopelancongan.
“Selain itu, Caravan Park dan Glamping juga akan dibangunkan di Sungai Linggi dan Bukit Serindit bagi pemilik kenderaan rekreasi RV,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet 2024 Negeri Melaka bertemakan ‘Menelusuri Warisan, Mengembalikan Kegemilangan’ pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, produk baharu keenam ialah Pelancongan Geopark di empat lokasi iaitu Tanjung Tuan, Pulau Besar, Pulau Upeh dan Pulau Undan, selain, Taman Laut Melaka di tiga buah pulau juga akan dipromosikan kepada pelancong sepanjang TMM2024.
“Tarikan lain ialah aktiviti ‘cruise’ dan ‘island hopping’ bagi melihat keindahan laut Selat Melaka yang akan diperkenal kepada pelancong.
“Manakala, produk baharu yang terakhir ialah Air Panas Gadek yang telah dinaik taraf menjadi pusat riadah keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.