TMM2024: Taman Budaya setiap kaum di Melaka akan diwujudkan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Kerajaan Negeri akan mewujudkan taman budaya setiap kaum yang terdapat di Negeri Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, taman budaya tersebut bertujuan mempamerkan adat dan budaya setiap kaum yang terdapat di negeri ini.

Katanya, pihaknya akan mengadakan dialog dan perbincangan khusus bagi mewujudkan taman budaya kaum itu dan lokasi akan dipilih mengikut kesesuaian tempat, selain beberapa kriteria lain turut diambil kira.

“Berbaki enam bulan sebelum TMM2024, sempat untuk membina taman budaya setiap kaum yang terdapat di Melaka seperti Kaum Melayu, Cina, India, Portugis dan pelbagai lagi.

“Di taman budaya tersebut akan dipamerkan kesenian budaya terbabit dan tujuan utama adalah mahu menunjukkan kemajmukan kaum.

“Langkah ini bagi meraikan semua kaum dan adat yang terdapat di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kebudayaan Tradisional Cina 2023 anjuran Persatuan Penerangan Budaya Tradisional Cina di sebuah restoran di Taman Muzaffar Syah di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Low Chee Leong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Penerangan Budaya Tradisional Cina, Teo Hock Kar dan Pengerusi Karnival Kebudayaan Tradisional Cina 2023, Koh Boon Wah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata taman budaya tersebut konsepnya berlainan dengan Taman Mini Malaysia dan lokasinya bukan seperti Jonker Walk di Banda Hilir.

“Taman budaya ini berbeza dengan Taman Mini Malaysia dan bagi kaum Cina, lokasinya bukan di Jonker Walk.

“Taman budaya ini akan mempamerkan kesenian kaum dan akan dijadikan rujukan indeks kebahagiaan rakyat Melaka bukan sahaja dari sudut ekonominya tetapi dari sudut perpaduan juga.

“Ia akan dilihat sebagai ukuran kecemerlangan memajukan bangsa dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1603
Kongsi :
Previous post Penduduk kampung buat saringan kanser percuma
Next post ‘Walkabout’ tinjau suasana lokasi pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=