TMM2024: Tempahan ‘homestay’ di Melaka meningkat 100 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Mac – Tempahan inap desa (homestay) di Negeri Melaka meningkat hampir 100 peratus bersempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Negeri Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, peningkatan itu dianggar berdasarkan tempahan pada dua bulan pertama tahun ini.

Perkembangan positif itu, menurut beliau adalah hasil usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang mengiktiraf ‘homestay’ dan ‘kampungstay’ di negeri ini sebagai antara produk tarikan untuk pelancong.

“Malah, sama seperti hotel, penginap homestay di negeri ini juga layak menyertai cabutan bertuah TMM2024 yang menawarkan kereta dan motosikal kepada pemenang.

“Semua itu menjadi nilai tambah dalam menarik kehadiran pelancong dan seterusnya mencapai sasaran 18.7 juta pelancong serta pengunjung ke Negeri Melaka.

“Pada masa sama, usaha yang dilakukan ini juga menjadi suntikan semangat kepada pengusaha ‘homestay’ dan ‘kampungstay’ untuk terus melipatgandakan usaha menarik kehadiran pelancong dan menyediakan servis terbaik sepanjang TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Pembelian Baju Raya Kepada Anak Yatim, Asnaf dan Warga Emas di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Menurut Akramuddin, impak TMM2024 turut memberi tempias kepada tempahan pada Hari Raya Aidilfitri nanti apabila ada di antara ‘homestay’ dan ‘kampungstay’ penuh pada 1 hingga 4 Syawal nanti.

“Ini kerana ada di antara warga kota mahu merasai suasana beraya di kampung dan mereka juga mahu merasai pengalaman mengacau dodol, menganyam ketupat dan lain-lain pada hari raya.

“Jadi pengusaha di Melaka sedia memenuhi permintaan khas seperti ini yang mana ia juga dapat merancakkan lagi sektor pelancongan Negeri Melaka sepanjang tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

100
Kongsi :
Previous post SWM Environment tumpu lokasi panas, pastikan longgokan sampah terkawal
Next post Tarikh lihat anak bulan Syawal pada 9 April
Ubah saiz-+=