TS35 sesuai pada masanya – Pembangkang

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 22 Sept – Kanvas baharu yang bersifat inklusif, Transformasi Sejahtera Politik dan Pentadbiran 2035 (TS35) yang diperkenalkan ketua menteri diterima baik pembangkang di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang Seah Shoo Chin berkata, beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali atas keprihatinannya itu.

“TS35 ini sesuai pada masanya sebab sebagai sebuah negeri maju kita sebenarnya tidak perlu kira siapa kerajaan mahupun pembangkang kerana semua adalah wakil yang dipilih rakyat.

“Sebab itu kalau kita dapat peruntukan atau bantuan termasuklah menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang kini hanya melibatkan ADUN-ADUN kerajaan, barulah semua isu-isu rakyat dapat diketahui.

“Walaupun mungkin ada isu-isu berkenaan lambat diselesaikan, sekurang-kurangnya ia dapat dibangkitkan untuk perbincangan segera,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Seri Negeri di sini hari ini.

Wakil rakyat DAP itu mengulas pembentangan usul terima-kasih Sulaiman kepada Ucapan Perasmian Pembukaan Sidang DUN oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam semalam.

Dalam ucapan selama sejam itu, Sulaiman mengumumkan TS35 sebagai transformasi politik dan pentadbiran yang merentasi sempadan politik demi kestabilan negeri dan kebajikan rakyat Melaka.

Sembilan ciri utama TS35 yang disifatkannya sebagai ‘kanvas baharu yang bersifat inklusif’ itu membabitkan kerjasama merentasi sempadan tembok politik, agama, ekonomi, budaya dan hal kemanusiaan.

Ia turut mengenepikan latar belakang keturunan dan bangsa, serta sudut pandang berlainan, demi kestabilan dan kebajikan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2022: KDN mohon RM10 juta rancakkan aktiviti pulih penagih dadah-Hamzah
Next post 177 pelajar mula terima vaksin dos pertama semalam – KM
Ubah saiz-+=