Tuah berbelanja tudung RM70, dapat hadiah kereta

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KLEBANG 20 April – Seorang guru taska tidak menyangka rezeki memiliki kereta pertama hadir pada usia 35 tahun selepas diumum pemenang bertuah memenangi sebuah kereta Proton Saga bernilai RM35,000.

Rohanizah Rosland yang berasal dari Taman Tanjung Minyak Utama diumum pemenang utama cabutan bertuah Glam Ramadan Bazar Klebang yang hadiahnya disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dia berkata, pada mulanya menyangka panggilan diterimanya kira-kira jam 11 malam kelmarin adalah panggilan palsu, namun apabila dia dihubungi sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong selain memastikan kemenangan itu menerusi laman Facebook live, dia menjerit keterujaan.

“Sebelum ini saya belum ada rezeki memiliki kereta sendiri lagi dan berhasrat untuk membelinya suatu hari nanti kerana saya baharu sahaja membuka taska sendiri malah suami, Muhd Syafiq yang menghantarnya ke tempat kerja setiap hari.

“Inilah kereta pertama saya dan akan digunakan untuk ke tempat kerja dan mungkin akan lebih ‘panjang’ langkah saya dengan kereta saya sendiri,” katanya sambil berseloroh.

Rohanizah berkata, kemenangan itu seakan minpi kerana dia hanya berbelanja RM70 bagi sehelai tudung untuk dirinya.

“Untuk diri saya beli tudung sebenarnya berharga RM70 manakala suami membeli sepasang baju raya dan stokin yang kesemuanya berjumlah RM330,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur Glam Ramadan Bazar Klebang, Abdul Rashid Omar berkata pihaknya menyediakan 100,000 kupon dengan pembelian RM30 dan ia habis dalam masa 10 hari.

“Pemberian kupon itu sekali gus menyaksikan nilai jualan di bazar ini adalah kira-kira RM3 juta jadi dalam lebih 20 hari, kita berjaya sampai ke nilai RM5.5 juta.

“Sepanjang penganjuran bazar ini, ia berjaya mencatat kunjungan kira-kira 1 juta orang dan insya-Allah tahun hadapan sekiranya diberi peluang (menganjurkan), kita akan tawarkan hadiah cabutan bertuah lebih menarik dan tampilkan kelainan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4563
Kongsi :
Previous post Wang ihsan bantu nelayan beli persiapan raya
Next post 73 anggota JPJ Melaka bertugas sepanjang Aidilfitri
Ubah saiz-+=