Ucapan tahniah kepada TYT Melaka ke-7 kian `meriah’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Ucapan tahniah kepada Tun Dr Mohd Ali Rustam yang bakal mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7 di Balai Istiadat, Seri Negeri di sini esok mula dipasang di sekitar negeri ini hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati ucapan tahniah dipasang di sebuah papan iklan gergasi (billboard) di satu persimpangan di Lebuh Ayer Keroh, petang ini.

Papan iklan gergasi tersebut memaparkan ucapan tahniah oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali kepada Mohd Ali.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri (Dr.) Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam di atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7. Setulus ikhlas daripada YAB Datuk Hj. Sulaiman Bin Md. Ali, Ketua Menteri Melaka dan barisan kepimpinan negeri Melaka, ahli-ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, kakitangan kerajaan dan swasta, serta seluruh rakyat negeri Melaka,” tulis ucapan tersebut.

Ucapan itu sekali gus menamatkan teki-teki dalam kalangan rakyat Melaka mengenai siapakah yang akan dilantik menggantikan Yang di-Pertua ke-6, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Ali bakal mencipta sejarah menjadi anak jati Melaka yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Untuk rekod, enam Yang di-Pertua Negeri Melaka terdahulu ialah Tun Leong Yew Koh (31 Ogos 1957 – 30 Ogos 1959, berasal dari Sungai Siput, Perak); Tun Abdul Malek Yusuf (31 Ogos 1959 – 30 Ogos 1971, dari Kampung Chengkau, Negeri Sembilan); Tun Abdul Aziz Abdul Majid (31 Ogos 1971 – 9 Mei 1975, dari Hulu Langat, Selangor); Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan (23 Mei 1975 – 30 Nov 1984, dari Tanjung Kerian, Perak); Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin (4 Dis 1984 – 3 Jun 2004 dari Kulim, Kedah) dan Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob (4 Jun 2004 – 4 Jun 2020, dari Kuantan, Pahang).

Views:

1974
Kongsi :
Previous post PAS Melaka nekad sokong PN tatkala dakwaan berlaku kemelut politik
Next post Agong kurnia watikah pelantikan TYT Melaka Ketujuh kepada Mohd Ali
Ubah saiz-+=