Ular sawa batik telan ayam baka Siam

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

DURIAN TUNGGAL 6 Jan – Misteri kehilangan seekor ayam baka Siam yang dianggar bernilai RM300 seekor terjawab apabila seorang tukang kebun menemui seekor ular sawa batik berlingkar dalam reban ayam di Kampung Bukit Balai, di sini, pagi tadi.

Kehilangan ayam tersebut disedari oleh pemiliknya, Shukur Baharom, 67, ketika mahu memberi haiwan ternakan itu makan kira-kira pukul 6.30 pagi.

Menurut anaknya, Hadi Syukur, 30, memang rutin bapanya sebelum keluar bekerja sebagai tukang kebun di Akademi Kastam Malaysia dekat Bukit Baru, memberi ayam baka Siam itu makan terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, bapa hairan kerana tidak menjumpai ayamnya itu yang diletakkan berasingan dengan ayam lain dan ketika itulah bapa sudah mengesyaki sesuatu yang tidak elok telah berlaku.

“Sangkaan bapa tepat setelah menjumpai seekor ular sawa batik sepanjang tiga meter dan berat dalam 10 kilogram sedang berlingkar di belakang sebuah bekas simpanan dalam reban selain terdapat benjolan pada badan ular sawa berkenaan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut dia berkata, terdapat ruangan yang berasingan menempatkan ayam baka Siam dan ayam tempatan pada reban ayam miliknya bapanya itu namun hanya ayam baka Siam yang dimakan oleh ular sawa tersebut.

“Bapa hanya mempunyai seekor ayam baka Siam dan nilai seekor ayam jenis baka itu agak mahal iaitu sekitar RM250 hingga RM300 bagi ayam baka Siam jantan,” katanya.

ANGGOTA APM Alor Gajah menggunakan alat khas untuk menangkap ular sawa batik seberat 10 kilogram dan panjang tiga meter selepas membaham seekor ayam baka Siam di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal pagi tadi.

Menurut Hadi, bapanya kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah bagi mendapatkan bantuan untuk menangkap ular sawa tersebut.

Katanya, kehadiran tetamu tidak diundang itu telah beberapa berlaku di kediamannya itu dipercayai datang dari kawasan hutan dan sungai yang terdapat di belakang rumah.

“Rumah kami juga baharu sahaja dinaiki air banjir beberapa hari lalu, mungkin dengan keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu serta lapar menyebabkan ular sawa tersebut mencari makan di kawasan dihuni manusia,” katanya.

Sementara itu jurucakap APM ketika mengesahkan kejadian itu memberitahu seramai tiga anggotanya dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima aduan kira-kira pukul 6.50 pagi.

Katanya, anggota tidak mengalami kesukaran ketika menangkap reptilia tersebut dan menggunakan alat khas untuk menangkap ular sawa batik itu dan dibawa pulang ke ibu pejabat APM untuk tindakan selanjutnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1314
Kongsi :
Previous post Banjir: Dua PPS ditutup, mangsa semakin berkurangan
Next post Long Tiger kini direman di Penjara Sungai Udang
Ubah saiz-+=