UMNO, belia dan NGO sambut baik inisiatif TS35

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

MELAKA 22 Sept – Pelbagai pihak menyambut baik inisiatif kerajaan negeri memperkenalkan Transformasi Sejahtera Politik dan Pentadbiran 2035 (TS35) yang disifatkan sebagai ramuan terbaik mengeratkan hubungan kerjasama antara parti politik di Melaka.

Menurut mereka, hubungan kerjasama dan kestabilan politik amat penting dalam usaha membangunkan negeri pada masa depan dan paling utama memberi khidmat terbaik kepada rakyat secara menyeluruh.

Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abidullah Salleh berkata, hanya melalui kestabilan politik dan hubungan perpaduan yang erat antara kerajaan dan pembangkang dapat memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian sewajarnya.

ABIDULLAH.

 

Menurutnya, permuafakatan politik dapat digunakan sebagai tapak integrasi antara kerajaan dan pembangkang dan ia sangat penting dalam mentadbir negara berbilang kaum.

“Saya yakin rakyat sudah bosan dengan perbalahan dan perbezaan pendapat dalam politik, walhal banyak lagi masalah rakyat perlu diberi perhatian terutama dalam keadaan pandemik ketika ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tawaran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali kepada pembangkang di negeri ini di bawah inisiatif TS2035 bertujuan mencapai kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan mengekang wabak COVID-19.

Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang Dewan Undangan Negeri semalam, Sulaiman menggariskan inisiatif di bawah TS35 bagi membina perpaduan ‘Keluarga Besar Melaka’.

TS35 merupakan lanjutan daripada inisiatif ‘Keluarga Malaysia’ yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rais Yasin. Foto Fail.

Selain itu, menurut Setiausaha Bersama Pemuda Muafakat Nasional, Datuk Rais Yasin, hanya melalui formula kesepakatan dan muafakat antara kerajaan dan pembangkang akan mampu mengatasi situasi serba mencabar kini dengan pandemik COVID-19.

“Amat baik sekali inisiatif yang diperkenalkan ini yang sebahagian besarnya menekankan matlamat untuk memberi khidmat bakti terbaik kepada rakyat.

“Dalam situasi yang serba mencabar hari ini, kita sepatutnya mencari kesamaan dan muafakat untuk bersama menghadapi isu-isu yang berlaku, sesuai dengan suasana pandemik ketika ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan juga Ketua Pemuda Bahagian Tangga Batu berkata, inisiatif TS35 membuktikan kerajaan negeri lebih mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat berbanding perbezaan pendapat atau kepentingan parti politik.

MOHAMAD Hasrul.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohamad Hasrul Hassan berkata, TS35 adalah langkah bijak yang dapat mengeratkan kerjasama dan kesepakatan antara parti politik seterusnya menyuburkan lagi ikatan perpaduan antara kaum.

“Bila perpaduan ini diutamakan maka semua perkara yang berkaitan dapat ditangani dengan berkesan bagi mencapai satu matlamat utama iaitu menyediakan khidmat yang lebih berkesan kepada rakyat.

“Contohnya, masih ingatkah kita bagaimana negara mencapai kemerdekaan dulu? Semuanya melalui kesepakatan antara parti dengan tujuan yang satu iaitu mahu memerdekakan negara dari penjajah.

“Sejarah lalu memberitahu kita dan inisiatif TS35 ini satu daripada bukti bagaimana kita boleh mengambil iktibar atas apa yang pernah berlaku satu ketika dulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post Aktiviti tambakan laut elak isu pembangunan milikan tanah – KM
Next post Melaka Gateway cabaran besar M-WEZ – Ketua Pembangkang
Ubah saiz-+=